
SUZUKI JIMNY KEMBALI!
Cuba buka laman web www.mudah.my kemudian cari Suzuki Jimny. Haa… anda mesti terkejut kerana model 4×4 mini yang yang sudah berusia lebih 20 tahun ini masih dijual pada harga belasan ribu ringgit. Memang untung siapa yang beli dahulu, sebab jentera tersebut masih ada peminatnya sehingga ke hari ini.
Suzuki Jimny membuat penampilan pertama di pasaran global pada tahun 1968. Sudah memasuki generasi ketiga, Jimny boleh dianggap sebagai jentera pacuan empat roda lagenda dan menjadi pilihan ramai. Ia terbukti menjadi sebuah kenderaan yang tahan lasak serta mampu mengharung apa jua bentuk muka bumi tanpa sebarang masalah.
Di Malaysia, Jimny ditawarkan pada tahun 1979 dengan lebih 20,000 berjaya dijual. Malah, Jimny pernah dipasang dalam negara bermula tahun 1984 tetapi diberhentikan produksinya pada tahun 2000.
Semalam, pengedar kenderaan Suzuki di Malaysia, Suzuki Malaysia Automobile (SMA) memperkenalkan semula model popular tersebut. Sekali pandang, Jimny mengekalkan DNA reka bentuknya yang comel, tetapi maskulin. Antara bahagian yang menerima pembaharuan ialah hud, bampar hadapan dan gril radiator.
“Jimny ialah sebuah kenderaan yang ringkas dan unik. Kami yakin ia akan menarik ramai pelanggan baru kepada jenama Suzuki,” kata Pengarah Urusan SMA, Keiichi Suzuki.
Sama seperti model terdahulu, SUV mini itu terus menggunakan enjin M13A DOHC bersesaran 1.3 liter yang ekonomikal. Enjin tersebut mampu menjana kuasa sehingga 84hp @ 6,000rpm dan tork 110Nm @ 4,100rpm.
Angka itu menjanjikan respons yang pantas dalam apa jua situasi. Enjin tersebut kemudian dipadankan bersama kotak gear automatik empat kelajuan atau lima kelajuan manual.
Jimny hadir bersama mode pacuan 2WD, 4WD dan 4WD-L. Sistem Drive Action 4×4 membolehkan pemandu menukar mode 2WD kepada 4WD dengan hanya menekan butang pada kelajuan mencecah 100km/j.
Sistem keselamatan pula terdiri daripada dua beg udara, brek ABS dengan empat sensor, Electronic Brake force Distribution (EBD) dan Brake Assist (BA).
Tanpa pesaing secara langsung, SMA yakin Jimny terbaharu yang sudah diproduksi selama 15 tahun ini mampu menyumbang kepada jumlah jualannya di Malaysia. Jimny hanya ditawarkan dalam satu varian JLX. Harga? RM84,888 untuk transmisi manual dan RM89,888 bagi varian automatik (harga di atas jalan tidak termasuk insurans).
Jimny didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu perak, putih, hijau dan kelabu.
[hr]Galeri



























