Buletin

SUZUKI JIMNY EDISI RHINO KINI DI MALAYSIA. KIT BERNILAI RM15K, TERHAD 30 SAHAJA, BERMULA RM175K

Naza Eastern Motors baru-baru ini melancarkan Suzuki Jimny Edisi Rhino, selepas hampir dua tahun Jimny kembali ke pasaran Malaysia. 

Model edisi khas itu bertujuan menarik minat penggemar kenderaan pacuan empat roda khususnya model ikonik Jimny selain memberi pengalaman pemilikan luar biasa buat pelanggan.

Sempena pengenalan edisi baharu ini, acara “Jimny Lifestyle Drive” turut dianjurkan. Acara pelepasan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza Automotive, Mohd Rizal Jailan yang menyaksikan lebih 30 pemilik Jimny menyertai konvoi dari bilik pameran Suzuki Cars Petaling Jaya menuju ke Pusat Latihan & Pengalaman 4WD Malaysia (M4TREC) di Semenyih. 

Ketua Pegawai Operasi Naza Eastern Motors, Mohamad Irwan Shahril mengumumkan edisi khas Jimny Rhino diikuti demonstrasi dan latihan off-road oleh tenaga pengajar Suzuki Jimny.

Ddisi khas Jimny Rhino hadir dengan penggayaan unik dan didatangkan bersama kit Jimny Rhino Kit bernilai RM15,000. Semua pemilik Jimny sedia ada juga boleh membuat ubah suai sama seperti varian Rhino. 

Naza Eastern Motors mula memperkenalkan Suzuki Jimny All Grip pada Julai 2021 menerusi beberapa pilihan warna. Jimny edisi Rhino pula boleh didapati dalam warna putih mutiara dan dilengkapi tanda logo ikonik Rhino yang memberi penghormatan kepada warisan siri Suzuki SJ.

Ia merupakan Jimny generasi kedua yang muncul 41 tahun lalu. Edisi itu terhad kepada 30 unit sahaja.

Jimny edisi Rhino ditawarkan pada harga RM174,900 (tidak termasuk insurans) dan menawarkan pelbagai ciri eksklusif serta naik taraf untuk peminat kenderaan pacuan empat roda.

Antara keistmewaan varian ini ialah pelekat merah, kelabu dan hitam pada hud dan profil dengan perkataan “Real Offroader” serta grafik Rhino.

Turut ada termasuklah ciri nostalgia seperti gril Suzuki Heritage yang sepadan cermin sisi chrome, bampar sisi dan hadapan. Di samping mud flaps merah dengan perkataan “Jimny” berwarna putih, dan penutup tayar ganti belakang dengan logo Rhino. 

Penghadang hadapan, belakang serta deflector hujan dan angin turut dipasang sebagai perlindungan tambahan.

Jimny edisi Rhino kini boleh didapati di bilik pameran Suzuki Cars di Naza Automall, Petaling Jaya. Maklumat lanjut mengenai Suzuki Jimny edisi Rhino atau menempah pandu uji, sila hubungi wakil Naza Eastern Motors di talian 010-274 4480 (Faiz) atau 012 584 0068 (Khairul).

GALERI

Google ads
Back to top button