
SELEPAS STOK HABIS, SUZUKI SWIFT SPORT TIDAK LAGI DITAWARKAN DI UK
Suzuki akan memperkenal kereta elektrik di United Kingdom (UK) pada 2025 dan disusuli beberapa lagi model kenderaan elektrik (EV) sehingga tahun 2030.
Selari dengan rancangan tersebut, Suzuki sedang dalam persediaan untuk peralihan jenama dan rangkaian pengedar bagi memenuhi perundangan UK dan EU.
Suzuki juga akan memperkemas barisan modelnya mulai akhir tahun 2024.
Apakah maknanya? Beberapa model akan digugurkan iaitu Swift Sport, Jimny LCV (komersial), Ignis dan Swace.
Model tersebut akan ditamatkan pada awal 2025 atau lebih awal selepas semua stok habis terjual.
Model hibrid Suzuki selepas ini terdiri daripada Swift, Vitara, S-Cross dan Across PHEV.
Kecuali Jimny LCV, model yang digugurkan menggunakan rangkaian kuasa hibrid penuh (Swace), hibrid 48V (Swift Sport) dan hibrid 12V (Ignis).
Walaupun menggunakan rangkaian kuasa hibrid, model tersebut sudah beberapa tahun di pasaran dengan Swift telah memasuki generasi baharu dan ditawarkan di UK.
Pengganti Swift Sport yang biasanya menyusul selepas Swift diperkenal masih belum kedengaran.
Pengunduran sebegini perkara biasa di Eropah dengan beberapa hot hatch telah dan bakal ditamatkan.
Di sebalik pengunduran, beberapa pengeluar masih tegar sebagai contoh MINI Cooper baharu ditawarkan dalam versi elektrik dan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Berkenaan EV baharu, Suzuki telah mempamerkan EVX pada Japan Mobility Show pada Oktober atau lebih awal lagi di India pada Januari 2023.
EVX dibuat dalam bentuk kenderaan utiliti sukan (SUV) dan menariknya terdapat hasrat untuk membawanya ke pasaran tempatan.
Swift generasi keempat mula dijual di UK dan Ireland pada April. Swift digerakkan enjin Z12E 1.2 tiga silinder yang menghasilkan 82 ps dan 112Nm dengan pilihan kotak gear manual atau CVT.
Enjin itu dipadan bersama sistem mild hybrid 12V.





