Buletin

SUZUKI SWIFT SPORT SILVER EDITION KINI TIBA DI MALAYSIA – JANA 140HP, HARGA BERMULA RM145K

NAZA Eastern Motors baru-baru ini melancarkan Suzuki Swift Sport Silver Edition untuk pasaran tempatan dan hanya ditawarkan dalam jumlah yang terhad.

Swift Sport Silver Edition yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini tampil dengan warna Premium Metallic Silver.

Model ini diserlahkan lagi melalui jalur perlumbaan pada bahagian hud dan sisi, perincian merah pada gril, bampar belakang dan dilengkapi rim dua tona.

Ia turut menerima kemasan gentian karbon pada cermin sisi, pemegang pintu belakang dan spoiler, serta muncung ekzos gentian karbon keluaran Akrapovic.

Bagi menyerlahkan imej sporty, model ini juga mendapat kemasan gentian karbon pada panel instrumen, suis pendingin hawa dan pintu.

Di dalam kabin, model ini dilengkapi perincian seperti sistem infohibur Soundstream di mana ia boleh diakses menerusi skrin sentuh berukuran 10 inci dengan ketersambungan  Android Auto dan Apple CarPlay.

Beralih pada kuasa, Swift Sport Silver Edition dipacu oleh enjin Boosterjet 1.4-liter, berupaya menghasilkan 140hp dan 230Nm pada 2,500rpm.

Nadi berkenaan dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan dengan paddle shifter.

Swift Sport Silver Edition boleh dimiliki pada harga bermula RM145,900 tidak termasuk insurans.

GALERI:

Google ads
Back to top button