
ADAC JERMAN UJI VW ID.3, KAPASITI BATERI 93% SELEPAS 100 RIBU KM!
Di antara kebimbangan mengenai kenderaan elektrik (EV) ialah bateri yang perlu diganti selepas beberapa tahun.
Kebimbangan tersebut munasabah jika bateri telefon dijadikan contoh namun bateri EV mempunyai sistem berbeza seperti penyejukan dan sebagainya.
Di antara kaedah bagi menangani tanggapan tersebut ialah testimoni dari pemilik atau pengujian badan bebas.
Sebagai contoh ADAC Jerman yang merupakan persatuan kereta terbesar Eropah telah menguji Volkswagen ID.3 dan memberi laporan yang bagus.
Para jurutera di Pusat Ujian dan Teknologi di Landsberg am Lech menguji model tersebut lebih daripada 100,000 kilometer (km).

ID.3 Pro S dengan bateri 77 kilowatt-jam (kWj) yang dijadikan bahan ujian masih mempunyai kapasiti bersih sebanyak 93 peratus.
Sama seperti model lain dalam siri ID.3, Volkwagen memberi jaminan kapasiti bateri sekurang-kurangnya 70 peratus daripada kapasiti bersih asal selepas lapan tahun dimiliki atau 160,000 km jarak pemanduan.
Ujian bateri ID.3 tidak dibuat dengan mudah. Bagi mencapai jarak 100,000 km secepat mungkin, ID.3 sering dicas sehingga 100 peratus di pusat pengecasan pantas.
Di samping itu dan berlawanan daripada pengesyoran, ID.3 biasanya sedia digunakan penguji seterusnya di pusat pengecasan dengan tahap cas 100 peratus dan kadang kala dalam beberapa hari.
Ujian ketahanan tersebut adalah yang pertama seumpamanya untuk model ID. Di antara sesi pandu uji, ID.3 akan diperiksa berulang kali oleh jurutera di Pusat Ujian dan Teknikal Landsberg am Lech.

ADAC memeriksa lapan kriteria utama dan lebih daripada 300 sub kriteria yang merangkumi teknologi, keselamatan, pengendalian, kemudahan penggunaan dan impak alam sekitar.
Daripada pengujian tersebut juga ADAC mempunyai saranan penting buat pengguna iaitu perisian perlu sentiasa dikemas kini. Semasa pengujian, ID.3 menerima beberapa kemas kini perisian.
Selain pembetulan pepijat, kemas kini yang dibuat meningkatkan kuasa pengecasan sehingga 170 kW dan faedah lain seperti kadar penggunaan tenaga seterusnya jarak pemanduan lebih jauh.
Turut memberi faedah ialah penggunaan tenaga pada jarak pemanduan singkat dan suhu musim sejuk dari 0 hingga 5 darjah celcius.

Fungsi pintar Electric Vehicle Route Planner yang diterima melalui kemas kini juga dipuji penguji ADAC.
Apabila mahu memandu jauh, sistem merancang hentian pengecasan supaya pemandu dapat tiba ke destinasi yang dituju secepat mungkin.
Selain tahap bateri, sistem juga mengambil kira keadaan semasa dan ramalan trafik dan hentian pengecasan akan dinilai berdasarkan faktor utama tersebut.
Akhir sekali, sistem akan mencadangkan dua hentian singkat dengan kuasa tinggi berbanding satu hentian yang lama dan berkuasa rendah.
BACA: VOLKSWAGEN ID. GTI CONCEPT – GTI VERSI ELEKTRIK!
BACA: VOLKSWAGEN GOLF GTI 380, MODEL MANUAL TERAKHIR SEBELUM DIHENTIKAN!
BACA: VOLKSWAGEN PASSAT VARIANT 2024 DIPERKENAL, R LINE NAMPAK SEGAK!







