
TAKAMOTO KATSUTA GUNA WANG GAJI SENDIRI UNTUK BANGUNKAN PROGRAM BAKAT BAHARU DALAM SUKAN RALI
Beberapa tahun yang lalu Takamoto Katsuta adalah merupakan seorang bakat muda yang meminati rali sebelum beliau sendiri dipilih oleh Toyota Gazoo Racing untuk diberikan peluang. Namun kini sudah sampai masanya buatT akamoto Katsuta memberikannya semula buat bakat baharu di luar sana.
Menggunakan wang saku sendiri Takamoto Katsuta telah melancarkan program pembangunan belia khusus untuk membantu anak muda mengasah bakat mereka dalam sukan rali. Buat masa ini tiada sebarang urus niaga secara komersial, yang ada hanyalah kerana minat dan komitmen beliau untuk mengembalikannya semula ke sukan yang telah membentuk siapa beliau hari ini.

Menurut Takamoto Katsuta beliau telah pun memulakannya pada tahun lepas dengan memulakan pasukan sendiri. Jika sebelumnya beliau masih tidak mempunyai wang tetapi kini sudah boleh melakukannya dengan menggunakan wang gaji sendiri.
Walau pun bergerak sendiri Takamoto Katsuta juga masih berharap di masa hadapan akan ada rakan strategik untuk bersamanya. Sungguh pun demikian, pemandu Jepun tersebut tetap memilih untuk meneruskannya dengan secepat mungkin sebagai tanda terima kasih kepada pasukannya yang telah menyokong sedari awal lagi kerjaya sebagai pemandu rali.

Kisah perjalanan Takamoto Katsuta dalam pentas WRC bermula pada tahun 2015 setelah terpilih untuk menyertai WRC Challenge Program Toyota Gazoo Racing, sebuah program pembangunan bakat dalam sukan rali. Di bawah bimbingan juara WRC empat kali Tommi Mäkinen, beliau semakin meningkat naik dalam sukan rali di Eropah dengan berjaya enam kali menaiki podium dalam pentas utama WRC.

Kini, Takamoto Katsuta menjalankan program pembangunannya sendiri, walaupun dalam skala yang lebih kecil. Setiap kem latihan dihadkan kepada hanya dua pemandu, memastikan masa tempat duduk dan bimbingan lebih optimum secara individu. Selain daripada itu, beliau juga dibantu oleh bekas Juruarah, Marko Salminen untuk memberikan panduan kepada bakat baharu tersebut. Malah, Sami Pajari juga turut hadir memberikan sokongan secara tidak langsung.
Terbaharu, kem musim sejuk telah diadakan di Finland yang disertai seorang remaja dari Jepun berusia 15 tahun dan remaja dari Finland berusia 18 tahun. Antaranya ialah Hiroya Minowa – seorang drifter yang disokong Red Bull yang merupakan naib juara dalam Formula Drift Jepun musim lalu dan pernah menaiki di podium di Amerika Syarikat.
Kredit Foto : WRC
BACA : TAKAMOTO KATSUTA – MAMPUKAH BELIAU MENCABAR KEJUARAAN WRC MUSIM 2024 NANTI?



