
GOODYEAR EAGLE F1 ASYMMETRIC 6 & ASYMMETRIC 6 SUV DIPERKENALKAN DI TASKL 2025
Goodyear Malaysia tampil penuh bergaya di Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2025 dengan memperkenalkan dua model tayar berprestasi tinggi terbaharu mereka iaitu Eagle F1 Asymmetric 6 dan Eagle F1 Asymmetric 6 SUV sebagai tayar rasmi untuk acara yang berlangsung dari 8 hingga 10 Ogos ini.
Pelancaran ini menjadi bukti komitmen berterusan Goodyear terhadap inovasi dan prestasi unggul, sejajar dengan legasi Eagle F1 yang telah menempa nama dalam dunia permotoran sejak diperkenalkan pada tahun 1980.
Daripada jentera perlumbaan ke kereta harian, siri Eagle F1 terus mendahului dalam aspek kawalan, cengkaman, dan prestasi membrek dalam pelbagai keadaan jalan.

Model terkini dalam barisan ini menawarkan teknologi terkini yang bukan sahaja menyasarkan pemandu prestasi tinggi, tetapi juga pengguna biasa, sama ada di lebuh raya mahupun di jalan bandar.
Menurut Pengarah Urusan Goodyear Malaysia, Ashwin Rajgopal, tahun ini merupakan detik penting bagi jenama Eagle F1 yang menyambut ulang tahun ke-45.
“Kami meraikan perjalanan inovasi selama empat dekad dengan memperkenalkan tayar yang memberikan keseimbangan antara prestasi dan keselesaan harian.
“Tayar ini juga direka agar sesuai dengan kenderaan elektrik (EV), menepati keperluan pasaran yang semakin mengarah kepada elektrifikasi,” ujarnya.

Ketua Strategi Saluran & Pembangunan, Michelle Wo pula menyatakan bahawa pengenalan tayar SUV ini tepat pada masanya, memandangkan permintaan terhadap kenderaan utiliti sukan terus meningkat di rantau ini.
“Kami juga akan menampilkan rangkaian penuh Eagle F1 Asymmetric 6 sepanjang acara berlangsung.”
Sempena TASKL 2025, Goodyear turut menawarkan promosi eksklusif kepada pelanggan. Mereka yang membeli tayar Goodyear terpilih bersaiz 17-inci dan ke atas pada bulan Julai dan Ogos 2025 akan menerima pulangan sehingga RM200 dalam bentuk kredit e-dompet Touch ‘n Go.
Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2025 dijangka menerima lebih 90,000 pengunjung, seiring reputasinya sebagai antara acara automotif paling dinantikan.
Dengan kehadiran Goodyear sebagai penaja tayar rasmi dan pelancaran model prestasi tinggi ini, pameran kali ini dijangka terus membakar semangat peminat dunia automotif tempatan.
- BACA: TAS KL 2025 – DUA MODEL LAGENDA DARIPADA LIBERTY WALK, FERRARI F40 DAN SUPER SILHOUETTE ER34
- BACA: PUSAT 3S LEXUS RASMI DIBUKA DI SUBANG JAYA
- BACA: SUZUKI FRONX : CROSSOVER KOMPAK BAKAL GEGAR PASARAN MALAYSIA
- BACA: NISSAN MAGNITE KURO SPECIAL EDITION INDIA, 1.0L TURBO ATAU N/A, DARI RM40 RIBU!







