
TEMPAHAN GAC EMKOO DAN M8 PHEV KINI DIBUKA – ANGGARAN HARGA RM120K
GAC Malaysia kini membuka tempahan untuk dua model terbaharu mereka, SUV bergaya futuristik EMKOO yang dipasang secara tempatan (CKD), serta MPV mewah hibrid plug-in M8 diimport sepenuhnya (CBU).
Pengumuman ini mengukuhkan lagi komitmen GAC terhadap penawaran kenderaan canggih dan berkualiti tinggi yang disesuaikan untuk pasaran Malaysia.
Model EMKOO menjadi model CKD kedua selepas GS3 EMZOOM, memperluas lagi strategi GAC dalam memperkukuh kehadiran pemasangan tempatan.
Ditawarkan dalam dua varian, EMKOO Premium anggaran harga bermula dari RM120,000, manakala EMKOO Premium Pro dari RM130,000.

Dari segi prestasi, EMKOO dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo berteknologi TGDI yang dipadankan dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan.
Penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 6.6L bagi setiap 100km.
Penampilannya yang garang dan moden disempurnakan dengan ruang dalaman berteknologi tinggi, termasuk kluster digital 10.25-inci dan skrin infotainmen 10.1-inci yang menyokong Apple CarPlay serta Android Auto.
Dari sudut keselamatan, EMKOO dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Tahap 2 (ADAS), termasuk ciri parkir automatik sepenuhnya (FAPA).
Ruang bagasinya juga luas, mencecah 1,586 liter dengan kerusi belakang dilipat, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh.
Setiap pembelian EMKOO disertakan jaminan kenderaan selama 5 tahun atau 150,000km dan jaminan enjin serta rangkaian kuasa selama 7 tahun atau 180,000km.

Sementara itu, GAC turut memperkenalkan M8 PHEV, MPV premium hibrid plug-in pertama di Malaysia.
Model mewah ini menggabungkan prestasi elektrik dengan keupayaan perjalanan jarak jauh. Ditawarkan dalam dua pilihan, iaitu M8 Premium dan M8 Luxury, harga anggaran bermula dari RM333,000 dan RM380,000.
M8 menggunakan enjin 2.0 liter turbo bersama transmisi hibrid dua-kelajuan khas, menawarkan jarak pemanduan gabungan terbaik dalam kelasnya sehingga 1,038km.
Ciri kemewahan termasuk tempat duduk kapten boleh baring dengan fungsi SPA satu sentuhan, sistem audio premium Yamaha, dan antaramuka hiburan yang moden.
Keselamatan juga menjadi tumpuan utama dengan sokongan pemanduan pintar Tahap 2, kamera pandangan sekeliling dan sistem beg udara 360 darjah yang dipatenkan oleh GAC.
M8 turut memperkenalkan beg udara cermin belakang pertama di dunia, perlindungan tambahan khusus untuk penumpang baris ketiga.
Pembeli M8 PHEV akan menikmati jaminan kenderaan selama 5 tahun atau 150,000km, serta jaminan bateri selama 8 tahun atau 150,000km, bergantung kepada yang mana terdahulu.
Untuk maklumat lanjut atau membuat tempahan, layari www.gacmotor.com.my atau ikuti GAC Motor Malaysia di media sosial.
- BACA: KALAU NAK CUCI KERETA PERGI CAR WASH, BUKANNYA DI STESEN MINYAK, CIK KAK…
- BACA: IJA NIZARUDDIN, ADIK DIHUKUM PENJARA SEBULAN, DENDA RM1,500
- BACA: HONDA PRELUDE GUNA BREMBO DAN DUAL-AXIS CIVIC TYPE R!
- BACA: BYD ATTO 1 DILANCARKAN DI INDONESIA – DUA VARIAN, JARAK GERAK 405KM, HARGA SEKITAR RM57K

