Buletin

TERIMA KASIH URUS, BANTU LONJAKKAN LAMBORGHINI!

Model Lamborghini seperti Aventador dan Huracán memang hebat tetapi dari segi jualan, SUV Urus banyak membantu syarikat dari Itali itu. Urus bukan setakat SUV ianya adalah SUV super!

Rupa-rupanya Urus dah berusia empat tahun selepas dilancarkan di peringkat antarabangsa pada 4 Disember 2017 di Sant’Agata Bolognese.

Di antara kelebihan Urus ialah memberikan peluang kepada pelanggan untuk merasai kereta berprestasi dengan praktikaliti sebuah SUV. Laju dan boleh bawa empat penumpang!

Dari segi perniagaan, Urus adalah permulaan kepada transformasi hebat Lamborghini. Mana tidaknya, sumbangan Urus kepada jualan, perolehan dan keuntungan Lamborghini adalah yang tertinggi di dalam sejarah syarikat.

Sebagai contoh, perolehan Lamborghini pada 2018 menyaksikan peningkatan sebanyak 40 peratus dari 1,009 juta euro kepada 1,415 juta euro.

Pada tahun 2019 perolehan meningkat kepada 1.81 bilion euro dan turun sedikit kepada 1.61 bilion euro pada tahun 2020 (kemuncak Covid-19).

Selain itu, prestasi jualan Lamborghini juga meningkat dengan tinggi. Sebagai contoh jualan global Lamborghini pada tahun 2019 adalah sebanyak 8,205 atau peningkatan 43 peratus.

Angka tersebut sekali ganda lebih tinggi sebelum Urus ditawarkan.

Dengan angka-angka tersebut berapa banyak sebenarnya jualan Urus? Dari tahun 2018 sehingga penghujung 2021 sebanyak 16,000 telah terjual di serata dunia.

Prestasi tersebut meletakkan Urus sebagai model terlaris Lamborghini dalam tempoh empat tahun.

Satu lagi dapatan menarik apabila 85 peratus pembeli Urus adalah pelanggan pertama Lamborghini.

Selain kewangan, Urus juga turut menyumbang kepada skala pengeluaran.

Tapak kilang di Sant’Agata Bolognese diperbesarkan dari 80,000 meter persegi kepada 160,000 meter persegi dengan pelbagai fasiliti baharu seperti pusat mengecat, bahagian kemasan, pejabat, litar ujian, gudang logistik dan sebagainya.

Satu lagi yang penting dan menggembirakan apabila syarikat turut menambah 700 pekerja baharu dengan kontrak tetap.

Dari segi teknikal dan prestasi, jentera yang berusia empat tahun ini dikuasakan enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar dengan output 650 hp dan tork 850 Nm.

Pecutan dari 0 km/j hingga 100 km/j hanya memerlukan 3.6 saat manakala kelajuan maksimum mencecah 305 km/j.

Urus dilengkapi enam mod pemanduan iaitu Strada, Sport, Corsa, Sabbia, Terra dan Neve termasuk sistem EGO yang membolehkan pemandu menetapkan konfigurasi sendiri.

Kepada yang berkenan, unit recond Lamborghini Urus dijual pada harga dari RM1.6 juta.

BACA: LAMBORGHINI URUS – SUPER SUV 1-100 KM.J DALAM MASA 3-6 SAAT

BACA: LAMBORGHINI LM002 – SUPER SUV INI IALAH AYAH KEPADA URUS

BACA: PADA 1970 LAMBORGHINI URRACO DIPERKENAL, 2+2 TEMPAT DUDUK

Google ads
Back to top button