HYUNDAI-SIME DARBY MOTORS LANCAR PALISADE BULAN INI. 2 PILIHAN ENJIN, 7 ATAU 8 TEMPAT DUDUK
Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) bakal melancarkan Palisade pada bulan ini yang menjadi model SUV saiz penuh pertama diperkenalkan di Malaysia.
Palisade yang hadir dengan chasis serba baharu menawarkan ruang cukup luas untuk tempat duduk baris kedua, ketiga dan kargo. Model CBU dari Ulsan, Korea itu ditawarkan dengan konfigurasi tujuh atau lapan tempat duduk.
“Hyundai Palisade akan menjadi pencabar dalam pasarn SUV segmen E. Ia dilengkapi ciri canggih, sistem keselamatan Hyundai Smartsense, ruang luas dan rekaan yang elegan. Palisade merupakan SUV paling besar Hyundai yang direka khas untuk off-road, perjalanan jauh dan kegunaan harian,” kata Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung.
Palisade ditawarkan dalam dua pilihan enjin. Enjin petrol 3.8 liter V6 dual CVVT pancitan terus mampu menjana kuasa sehingga 295PS dan tork 355Nm pada 5,200rpm. Manakala enjin diesel R2.2 CRDi empat silinder sebaris pula berkuasa 200PS pada 3,800rpm dan tork 440Nm pada 1,750-2,750rpm.
Kuasa tersebut disalurkan ke roda menerusi kotak gear automatik lapan kelajuan dengan pacuan dua roda atau empat roda HTRAC.
Jentera berkenaan menyerlahkan konsep rekaan Sensuous Sportiness Hyundai. Bahagian hadapan nampak dominan dengan gril besar bersama kemasan krom. Sepasang lampu utama LED diposisikan secara menegak, di samping lampu nyalaan siang (DRL) LED.
Bahagian belakang pula dipasang dengan lampu LED menegak. Palisade juga dilengkapi bumbung kaca panoramik untuk memberikan rasa luas kepada semua penumpangnya.
Ruang kabin memberikan perasaan selesa apabila tempat duduknya dibalut dengan kulit Nappa premium. Sementara panel instrumen pula menerima kemasan kayu yang mewah.
Tempat duduk baris kedua menawarkan operasi satu sentuhan yang memudahkan akses keluar masuk ke kerusi baris ketiga. Setiap tempat duduk juga dilengkapi port USB untuk kemudahan semua. Corong pendingin hawa pada bumbung menjanjikan keselesaan kepada penumpang belakang. Sistem itu menghembuskan udara sejuk yang sekata ke seluruh kabin.
Jika berminat, Palisade sudah boleh ditempah di semua bilik pameran sah Hyundai. Tempahan secara dalam talian boleh dibuat di pautan www.hyundai.com.my/clicktobuy/
- BACA: HYUNDAI PALISADE DAN KONA FACELIFT 2021 BAKAL DILANCARKAN DI MALAYSIA TAHUN INI
- BACA: KABIN PALISADE BAU BUSUK. HYUNDAI SIASAT ADUAN PEMBELI
- BACA: HYUNDAI LANCAR MPV STARIA DI THAILAND. 11 TEMPAT DUDUK, ENJIN DIESEL 2.2 LITER, BERMULA RM222K
- BACA: HYUNDAI UNGGULI PASARAN VIETNAM JAN-MEI 2021. KALAHKAN TOYOTA
GALERI