
TESLA GIGAFACTORY BERLIN BERDEPAN MASALAH KEKURANGAN PEKERJA, GAJI TAK SETIMPAL
Tesla nampaknya berdepan dengan masalah kekurangan pekerja, terutama di kilang Gigafactory Jerman.
Salah seorang daripada pekerja fasiliti tersebut yang tidak mahu dikenali telah mengutuskan surat kepada Wired yang mendakwa keadaan di kilang tersebut huru-hara.
Disebabkan keadaan yang kacau bilau itu, ada pekerja yang jatuh sakit, dan hanya bertugas untuk beberapa minggu sahaja sepanjang tempoh enam bulan.
Sejak bulan Jun, jumlah kekosongan jawatan di Tesla meningkat dua kali ganda, dan firma itu hanya mampu menggaji 7,000 orang sahaja daripada 12,000 orang pekerja yang dirancang untuk fasiliti Berlin.
Ini secara tidak langsung menjejaskan sasaran produktiviti yang telah ditetapkan.
Menurut perancangan, Tesla mahu 5,000 unit Model Y keluar dari kilang untuk setiap minggu menjelang akhir 2022.
Namun setakat Oktober kilang tersebut sekadar memasang 2,000 unit sahaja, menjadikannya jauh tidak kompetitif berbanding kilang-kilang Tesla yang lain.
Punca sebenar kekurangan pekerja di kilang tersebut ialah tawaran gaji yang tidak lumayan.
Kesatuan pekerja IG Metall mendakwa Tesla membayar gaji 20 peratus lebih rendah berbanding perniagaan yang serupa.
Selain itu, bekas pekerja Tesla turut mendakwa pasukan pengurusan kilang tersebut tidak cukup pengalaman, dan perubahan corak kerja secara tiba-tiba turut mengganggu gugat sebilangan besar pekerja terutama mereka yang mempunyai anak. – Wired







