Buletin

HONDA BAKAL LANCAR VAN ELEKTRIK DARI N-VAN, JARAK PANDU 200KM!

Honda akan melancarkan kenderaan komersial ringan elektrik di Jepun pada tahun 2024 yang diasaskan dari N-VAN. 

Honda mahu mencapai neutral karbon menjelang 2050 di dalam kesemua produk dan aktiviti korporat dan bagi merealisasikannya, Honda merancang untuk memperkenalkan 30 jenis kenderaan elektrik (EV) di peringkat antarabangsa menjelang 2030.

Di Jepun, kenderaan mini (kei-car) mempunyai peranan penting di dalam kehidupan seharian masyarakat dan Honda percaya segmen itu perlu diutamakan di dalam mengembangkan EV.

Pada masa yang sama terdapat permintaan tinggi untuk kenderaan komersial dengan teknologi elektrifikasi bagi mengurangkan impak terhadap alam sekitar.

Berdasarkan faktor tersebut, Honda akan membangunkan EV ringan dahulu dan dimulakan dengan kenderaan komersial ringan elektrik.

Model baharu itu dibina dari N-VAN, sebuah van komersial ringan yang dilancarkan pada 2018 dan khabarnya menerima sambutan baik di Jepun.

Pemilihan N-VAN nampak menarik memandangkan Honda mempunyai kei car popular seperti N-Box dan N-WGN.

N-VAN mempunyai beberapa kriteria yang baik seperti ruang barangan luas dan mudah digunakan kerana tidak mempunyai tiang tengah pada bahagian sisi penumpang.

Model baharu itu nanti akan mengekalkan praktikaliti tersebut dan seperti EV lain mempunyai tahap bunyi yang rendah selain pecutan yang berkuasa dan sesuai di dalam keadaan trafik yang kerap berhenti dan bergerak.

Selain digunakan untuk penghantaran peringkat akhir (last mile) yang kini semakin berkembang, Honda juga mahu menghasilkan sebuah EV yang dapat memenuhi keperluan gaya hidup pengguna di Jepun.

Honda tidak mendedahkan butiran teknikal terperinci kecuali sasaran jarak pemanduan 200 kilometer.

Jarak itu sememangnya singkat namun memadai untuk kegunaan harian yang pendek seperti penghantaran barangan jarak dekat, ke tempat kerja atau sekolah dan hobi peribadi.

Satu perkhabaran yang sangat menarik apabila Honda mahu menjual EV itu pada harga bermula daripada 1,000,000 yen (RM32,116.78) dan setara dengan kenderaan petrol.

Harga rendah, ramai yang boleh memilikinya dan matlamat Honda ialah untuk mempromosikan kegunaan EV dan menuju ke arah neutral karbon.

BACA: HONDA BANGUNKAN MODEL SEL BAHAN API HIDROGEN DARI CR-V!

BACA: KENAPA GEAR MANUAL BUATAN HONDA SANGAT BAGUS DAN PALING SERONOK DIGUNAKAN?

BACA: HONDA PILOT 2023 DIPERKENAL DI AS, BESAR DARIPADA CR-V!

Google ads
Back to top button