Buletin

TIADA KIT MODULO UNTUK HONDA JAZZ NAMUN KIT MUGEN INI TAMPIL LEBIH GARANG

Pada majlis pelancaran Honda Jazz rupa baharu dan Jazz Hybrid baru-baru ini ada satu perkara yang lari daripada kebiasaan. Honda Malaysia tidak menawarkan aksesori oleh Modulo. Apabila diperiksa di laman web negara jiran iaitu Thailand yang merupakan pengkalan utama Honda di rantau ini, apa yang ditampilkan juga tidak seperti biasa.

Kit Modulo untuk Honda Jazz rupa baharu tampil bersahaja. Hanya ada roda aloi yang berwarna hitam dan spoiler bumbung. Itu sahaja. Tiada kit badan penuh seperti sedia kala. Senario itu juga dilihat berbeza dengan Honda City rupa baharu yang sudah siap sedia dengan kit penuh Modulo, dari depan hingga belakang.

Apa pun, Honda Malaysia menebusnya apabila menawarkan aksesori yang sangat menarik dan dikira lebih kena dengan selera pasaran tempatan iaitu kit badan Mugen.

Untuk rekod, Honda Malaysia turut menawarkan kit badan Mugen dan memasarkannya secara beriringan dengan kit Modulo untuk Jazz sebelum ini. Berdasarkan pemerhatian, pembeli lebih gemarkan kit dari Mugen walaupun boleh diragui ketulenannya.

Di sudut bersebelahan Honda Jazz Hybrid semasa pelancarannya baru-baru ini, Honda Malaysia menayangkan sebuah model yang cukup anggun iaitu Honda Jazz Hybrid Mugen Concept.

Model tersebut bukan sekadar mempamerkan kit badan Mugen malah lebih daripada itu.

Ia tampil dengan aksesori penuh, bermula dari kit badan aerodinamik Mugen yang terdiri dari spoiler bamper depan, skirt sisi, spoiler bamper belakang dan spoiler bumbung. Gril pula dilekapkan lencana Mugen.

Itu kit yang boleh dibeli pada harga RM 5,670 dan hanya boleh dipesan pada Oktober nanti. Ini tidak mengejutkan memandangkan laman web rasmi Mugen Jepun pun belum mempamerkan kit badan itu.

Kit Mugen yang hanya untuk tontonan pula terdiri daripada Sports Silencer, roda aloi 17 inci, pelekat badan, tombol gear, sports mat, sports luggage mat dan sports suspension.

Tidak pasti sama ada Honda Malaysia akan menawarkan kesemua kit Mugen itu dalam satu pakej atau mengeluarkan model khas pada masa depan.

Memandangkan Nissan sudah lama memasarkan kit talaan penuh Impul atau Nismo bermula dari Almera hinggalah kepada Teana dan X-Trail atau lebih menarik pada sebuah MPV iaitu Serena S-Hybrid diharapkan Honda dapat membuat sesuatu.

Malah Honda Jazz dan City versi perlumbaan Sepang 1000 KM (S1K) turut menggunakan kit Mugen.

Apa pun, harus tahu hanya beberapa negara sahaja di dunia melancarkan Jazz rupa baharu setakat ini dan penampilan kit Mugen di KL Convention Centre tempohari adalah satu yang tidak dijangka, boleh lah dikatakan bahawa itu adalah penampilan pertama Honda Jazz Mugen di dunia!

Lagi berita menarik tentang Honda:

HONDA MALAYSIA AKAN LANCAR CIVIC TYPE-R TAHUN INI?

SI PELURU KELABU – HONDA CIVIC EG B16 TURBO

Google ads
Back to top button