Artikel Pilihan

FUNGSI TERSEMBUNYI CERMIN PANDANG BELAKANG

Kenal benda ni? Nama mudahnya cermin pandang belakang yang tentunya digunakan untuk melihat objek atau keadaan trafik di belakang kenderaan.

Ia bukan aksesori pilihan dan semua jenis kenderaan tak kira baru atau lama, ada dibekalkan dengan komponen ini secara standard. Jangan kata Kancil cap Rawang, Bugatti Chiron yang harga RM12 juta tu pun masih pakai benda yang sama.

Itu buku sejarah, cermin pandang belakang telah digunakan buat pertama kalinya oleh Ray Harroun pada tahun 1911. Ia dipasang pada kereta lumba Marmon, untuk perlumbaan sulung Indianapolis 500. Penggunaan cermin ini membolehkan Harroun berlumba berseorangan, tanpa menggunakan khidmat ‘riding mechanic’. Hasilnya beliau berjaya memenangi perlumbaan tersebut, sebelum kaedah ini diprotes pada tahun berikutnya.

Perkembangan cermin pandang belakang hanya berlaku pada tahun 1921 apabila dipatenkan oleh Elmer Berger. Diberi nama ‘cop-spotter’, ia mula diterima pakai oleh para pengeluar kenderaan selepas menyedari kepentingan komponen ini. Dari sebuah cermin yang asas, kemajuannya terus berkembang termasuk dilengkapi pelbagai fungsi berteknologi tinggi.

Lumrahnya, cermin pandang belakang pada kenderaan kebanyakan tidak memiliki fungsi yang canggih. Tiada auto-dimmer, sambungan aplikasi android, atau integrasi bersama kamera undur dan kamera keselamatan. Ia hanya sebuah cermin prismatik yang asas dan tidak mampu menghalang keadaan silau cahaya lampu kenderaan belakang.

Tanpa kita perasan atau sengaja buat-buat tak perasan, kebanyakan cermin ini memiliki sebuah tuil kecil di bahagian bawahnya. Mengapa ia di situ? Apakah fungsinya yang sebenar?

Tuil ini juga berfungsi sebagai dimmer, namun perlu digerakkan secara manual. Berbeza dengan cermin pandang belakang pada kenderaan mewah yang menggunakan paparan electrochromism untuk mengesan peningkatan cahaya secara automatik, cermin pandang belakang jenis prismatik direka lebih mudah dan memiliki ketebalan berbeza di bahagian sisi berbanding titik tumpuan di kawasan tengah. Ketika dicondongkan, cahaya terang yang muncul dari belakang kenderaan akan dibiaskan sekaligus mengurangkan kesan silau.

Ideanya mudah. Namun kerana kurang diberi perhatian, ia hampir tidak disentuh oleh kita sebagai pemandu. Kalau rasa ketinggalan sangat, pasang aje cermin pandang belakang aftermarket yang ada dijual dalam pasaran.

-Pak Maun-

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button