
TIADA LAGI KELULUSAN PENGELUARAN, PENJUALAN NOMBOR PLAT KHAS – MOT
Kementerian Pengangkutan tidak lagi memberikan kelulusan kepada pengeluaran dan penjualan nombor pendaftaran khas (NPK) yang bertujuan memanfaatkan mana-mana syarikat, individu mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata keputusan itu berdasarkan keputusan Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 2022.
“Kriteria dasar semasa Kementerian Pengangkutan iaitu memberhentikan pengeluaran atau kebenaran penjualan NPK kepada NGO atau syarikat korporat adalah dikekalkan seperti mana diputuskan Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2022.
“Ia termasuk bagi tujuan perniagaan yang menjana keuntungan bagi pihak berkenaan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) yang memohon penjelasan mengenai garis panduan dan kriteria digunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam meluluskan siri plat NPK, termasuk dikeluarkan oleh agensi kerajaan, NGO atau entiti swasta.
Mengulas jumlah kutipan hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa (NPI), Hasbi berkata sebanyak RM110,069,150 dikutip sejak ia diperkenalkan pada 2023.
“Hasil nombor pendaftaran NPI kini dibuka kepada pembidaan melalui JPJeBid dan hasilnya dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan di bawah kerajaan Persekutuan.
“Seterusnya sebahagiannya digunakan untuk program berpaksikan rakyat,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai banyak masalah terpalit JPJeBid, Hasbi menjelaskan pihaknya menyelesaikan banyak isu kegagalan teknikal melingkari sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan itu.
Namun begitu, beliau mengakui terdapat sedikit kegagalan teknikal kecil yang masih terpalit sistem berkenaan.
“Sebenarnya kita mengakui pada awal-awal dulu memang banyak masalah (timbul). Masalah seperti ‘log in’ (log masuk) selepas itu kena potong (giliran) saat akhir.
“Tetapi Alhamdulillah sekarang ini, masalah itu sudah tidak timbul lagi. Masih ada (masalah) tapi tidak terlalu meluas sebagaimana terjadi mula-mula dulu,” katanya. – Berita Harian



