Artikel PilihanBuletin

TIADA LAGI KERJASAMA MITSUBISHI, RENAULT, SUZUKI & HONDA. HANYA PROTON & GEELY

Jika ada momen yang benar-benar merupakan “pembaharuan” syarikat PROTON, maka ini adalah saatnya. Kami baru dimaklumkan oleh individu yang rapat dalam industri ini bahawa Geely kini memberi tumpuan sepenuhnya pada Proton dalam usaha untuk memastikan syarikat itu mendapat keuntungan dalam masa yang terdekat.

Proton sebelum ini agak caca merba dalam proses rasionalisasi perniagaan dan kerjasama pemilihan produknya. Pada peringkat awal, mereka mungkin konsisten apabila bermula dengan Mitsubishi pada 1985. Proton menghasilkan Saga, Wira, Satria, Putra, Perdana, Juara yang kesemuanya merupakan platform asas yang dihasilkan menerusi kenderaan Mitsubishi.

Setelah merasakan mereka dah bersedia, Proton menamatkan kerjasama tersebut dan Proton cuba bangkit dengan menghasilkan kereta mereka sendiri. Maka lahirlah Waja, Gen2, Neo, Saga, Exora dan Persona. Ia dilihat sebagai detik kelahiran Proton sebenar yang cuba memanfaatkan teknologi yang mereka pelajari dari gurunya Mitsubishi.

Namun menyedari pembangunan sebuah model baru sebenarnya sukar dan menelan belanja tinggi, tidak sepadan dengan angka jualan dalam negara (setelah pasaran eksportnya sendu) Proton kembali ke kertas cadangan awalnya, Maka, kenderaan Proton diselang seli dengan model sendiri bersama model rebadge. Mereka hasilkan Inspira – yang kembali menggunakan kereta dari Mitsubishi Lancer.

Mungkin mereka sedar bahawa dengan pasaran Malaysia yang kecil, membangunkan sebuah model baru sepenuhnya adalah tidak pulang modal. Pasaran eksport mereka ternyata sukar untuk bertahan apa lagi bertanding dengan jenama dan juga kekangan teknologi untuk disesuaikan dengan ketetapan keselamatan dan peraturan yang semakin ketat.

Proton jelas, tiada “volume” untuk menjustifikasikan setiap pelaburannya.┬áJusteru, mereka terpaksa kembali ke pelan kedua mereka menerusi penghasilan model-model usahama menerusi Savvy (Renault), Perdana (Honda Accord) dan Proton Ertiga (Suzuki).

Jelas, Proton ada kecelaruan identiti dan fokus perniagaan mereka sebenarnya tidak konsisten. Sekejap mahu jadi Eropah, sekajap kembali ke Jepun, sekejap mahu jadi premium, sekejap mahu jadi kereta rakyat.

Menurut pandangan kami, itu yang menggagalkan hala tuju syarikat Nasional negara ini.

GEELY KOMITED UNTUK PROTON

Baru-baru ini, kami mendapat maklumat, Proton mahu dikekalkan sebagai pembuat kereta “bebas” yang hanya bergantung kepada rakan niaga mereka sahaja – Geely.

Khabarnya, keputusan mengenai model apa, bila dan tanda harga akan diputuskan Geely. Biarpun ada tentangan dari orang dalaman Proton, kami rasa, ada baiknya beri peluang kepada Geely untuk “menyembuhkan” Proton. Proton sudah ada peluang selama lebih 30 tahun untuk menetapkan polisinya namun ternyata gagal.

Pengurusan baru ini dikatakan hanya akan menggunakan model Geely sebagai asas pasaran. Sudah tentu, dengan data-data kajian tempatan yang sesuai untuk mereka pilih model mana patut diperkenalkan di Malaysia. Perlu diingatkan, Ia adalah pelaburan yang bukan kecil, kerana apabila ia bermula, kenderaan-kenderaan ini perlu diteroka pasarannya ke negara pemanduan sebelah kanan yang lain supaya mendapat untung atau setidak-tidaknya, pulang modal.

Usahasama ini juga telah bermula dan mengikut pelan pembesaran kilang Proton Tanjung Malim sahaja mereka memperuntukkan RM1.2 Billion. Ia usaha jangka panjang yang dirangka sehingga tahun 2027 yang mana ketika itu, kilang “mega” itu akan mampu memasang sehingga 450,000 buah kenderaan setahun.

Mengharapkan pasaran Malaysia sahaja umpama mimpi di siang hari. Realitinya, sasaran jualan tahunan Proton X70 hanya sama dengan jualan sebulan Boyue di China. Bayangkan betapa besarnya jurang perbezaan antara pasaran di mana X70 perlu dibangunkan sebagai model khusus pemanduan sebelah kanan.

Langkah-langkah menaiktaraf pusat jualan dan servis dari 2S kepada 3S dan 4S adalah gerak kerja awal untuk menyeragamkan struktur pemasaran Proton. Hanya yang mencapai status tinggi yang layak menjual model Premium seperti X70.

Ini sangat penting untuk memastikan persediaan platform awal yang komprehensif. Bagi Geely, ada 10 dealer 4S adalah lebih baik dan mudah diuruskan berbanding berbanding 100 dealer 2S yang tidak melepasi standard yang mereka tetapkan.

Kami juga percaya, Geely turut mempunyai pelan pemasaran model mengikut segmen yang mereka telah tentukan. Mereka melihat pasaran ASEAN sebagai “lubuk” baru untuk mereka terokai. Memiliki kemudahan pemasangan strategik di Tg Malim adalah satu kelebihan yang akan mereka manfaatkan sepenuhnya.

Ini adalah fasa baru Proton dan menandakan usahasama antara Mitsubishi, Honda, Suzuki, Ricardo, Renault dan Lotus telah berakhir.

Google ads
Back to top button