Buletin

KESTURI SOKONG PELUASAN LARANGAN KENDERAAN BERAT PADA WAKTU PUNCAK DI LEBUHRAYA DUKE

Konsortium Lebuhraya Utara Timur (KL) Sdn. Bhd. (KESTURI), selaku pemegang konsesi Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), menyambut baik keputusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk memperluaskan larangan pergerakan kenderaan berat pada waktu puncak di beberapa lebuh raya utama sekitar Lembah Klang.

Langkah ini akan berkuat kuasa bermula 19 Februari 2025 dan melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), serta Lebuhraya DUKE.

Pelaksanaan larangan ini adalah sebahagian daripada peraturan yang termaktub dalam Warta Kerajaan Persekutuan menerusi Perintah Pengangkutan Jalan (Larangan Penggunaan Jalan) (Jalan Persekutuan) (No. 10) 2024.

Ia bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan kelancaran perjalanan terutama pada waktu puncak.

Larangan ini melibatkan dua kategori utama kenderaan berat:

  • Kenderaan Kelas 2 – Kenderaan bermotor yang mempunyai dua gandar dan enam roda (tidak termasuk bas).
  • Kenderaan Kelas 3 – Kenderaan bermotor yang mempunyai tiga gandar atau lebih (tidak termasuk bas).

Larangan ini akan dilaksanakan di seluruh jajaran Lebuhraya DUKE, termasuk:

  • Jajaran Duta
  • Jajaran Ulu Kelang
  • Jajaran Karak
  • Jajaran Tun Razak
  • Jajaran Sri Damansara

Ia akan dikuatkuasakan setiap hari Isnin hingga Jumaat, kecuali pada hari kelepasan am, dalam dua slot waktu puncak:

  • Pagi: 6.30 pagi hingga 9.30 pagi
  • Petang: 4.30 petang hingga 7.30 malam

Menurut Pengarah Urusan KESTURI, Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng, pihaknya sedang giat menjalankan sesi libat urus dan advokasi bersama agensi penguatkuasaan serta pihak industri pengangkutan berat.

KESTURI turut menyarankan agar syarikat logistik dan pemandu kenderaan berat merancang perjalanan mereka lebih awal bagi mengelakkan sebarang gangguan operasi serta memastikan kelancaran perjalanan.

Dengan pelaksanaan inisiatif ini, KESTURI berharap kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan secara signifikan, sekali gus meningkatkan pengalaman pengguna lebuh raya dan mengurangkan risiko kemalangan.

Google ads
"
"
Back to top button