TIPS: 10 CARA MUDAH MENJIMATKAN MINYAK SEMASA MEMANDU
Tahukah anda harga petrol naik bulan lepas? Walaupun Malaysia mengamalkan pengapungan harga bahan bakar sejak Disember tahun lalu, peningkatan harga adalah sesuatu yang boleh dijangka. Malaysia ni semua harga akan naik, jadi anda perlu bersedia menyesuaikan diri.
Selain dari membuat kerja sampingan, menjual bahan-bahan kitar semula, membuat perniagaan online, menjual pomade, menjadi dropship dan sebagainya, anda sudah tentu bergerak dengan kenderaan kan? Jadi kami kongsikan bersama tips berguna untuk menjimatkan petrol kereta anda.
- RANCANG PERJALANAN
Ini ramai yang ambil mudah. Kereta digunakan beberapa kali untuk tujuan berbeza pada satu hari. Sebaiknya, rancang dahulu destinasi dan buat peta laluan supaya anda tak membazir masa dengan laluan berulang-ulang untuk tujuan berbeza.
Singkatkan masa perjalanan menerusi poin-poin berhenti tadi. Misalnya, anda nak ke kedai dobi, supermarket dan ke pejabat pos. Anggarkan masa yang diperlukan pada setiap lokasi tadi dan pergi ke tempat dengan tujuan yang paling singkat. Maksudnya, enjin dimatikan sekejap, siap urusan, masuk semula kereta dan ke destinasi seterusnya.
Enjin yang dimatikan lama dan mula menyejuk akan memerlukan masa untuk dipanaskan. Enjin yang sejuk apabila dihidupkan lazimnya akan memakan banyak petrol untuk beroperasi pada tahap optimum.
- ELAKKAN WAKTU PUNCAK
Dah tahu jem melekat pada waktu puncak tak payahlah nak masuk bandar lagi. Tunggu dulu. Memandu dalam kesesakan trafik akan mendatangkan kesan emosi juga kalau anda nak tahu.
Dalam keadaan tidak bergerak, petrol masih lagi bergerak untuk menghidupkan pendingin hawa. Jika trafik terus sesak dan bergerak perlahan, kedudukan gear rendah menjadi punca banyak petrol ditelan.
Cuba amalkan pemanduan perlahan, dengan menjangkan pergerakan kereta di hadapan. Elakkan memandu stop-go. Pandu perlahan-lahan dan bukannya pandu berhenti-jalan.
- TUTUP TINGKAP DAN PASANG AIRCOND
Ramai orang ingat bila buka tingkap dan mematikan alat pengawa dingin akan menjimatkan minyak. Maaf, itu salah.
Setiap kereta dibina dengan bacaan CD (Coefficient of Drag) yang merujuk aerodinamik kereta. Buka cermin waktu kereta sedang bergerak akan menyebabkan geseran angin tak sekata. Ia menyebabkan kereta terpaksa harung beban merentas angin lebih berat dari sepatutnya. Hasilnya, lebih minyak diperlukan.
- BUKA RAK BUMBUNG ATAU BENDERA ATAU YANG TAK DIPERLUKAN
Ini masih tentang Coefficient of Drag tadi. Kalau baru balik dari kampung dan ada kotak kargo atas bumbung, sila buka sebelum memandu ke pejabat. Meskipun jenama terkenal seperti Thule membuat kotak kargo yang bersifat aerodinamik, ia tetap satu beban CD pada kebanyakan kereta.
Baru balik sokong pasukan bola? Biasanya ada bendera “dipacak” pada bampar belakang. Ini juga menyebabkan angin aerodinamik pening tak tahu nak pergi mana. Kesimpulannya, menyebabkan minyak jadi banyak diperlukan. Sama kesnya dengan rak basikal, simpan dulu basikal di rumah sebelum nak pergi beli-belah KLCC.
- KELUARKAN SEMUA BARANG YANG TAK PERLU
Konsep pergerakan ni mudah. Lebih ringan, lebih kurang tenaga dan begitulah sebaliknya. Ramai yang suka tinggalkan stroller anak dalam kereta, kasut, pasu bunga, dulang astro dan bermacam-macam lagi. Ini semua beban.
Selain menyebabkan banyak minyak diperlukan untuk bergerak, ia membebankan sistem suspensi dan brek. Sangat tak bagus untuk jangkamasa yang lama kerana akan beri kesan pada bunga tayar, penyerap hentak serta peralatan yang bersangkutan seperti bushing dan tie rod.
- TEKAN PEDAL PERLAHAN-LAHAN
Waktu nak mula bergerak, tekan pedal perlahan-lahan untuk dapatkan momentum, bukannya setiap kali lampu hijau kau terajang pedal minyak. Kelajuan malar penting untuk pastikan putaran enjin konsisten dengan kedudukan gear.
Kalau memandu transmisi manual, pastikan anda sentiasa pada kedudukan gear tertinggi bila memandu (tapi janganlah naik bukit pun bantai gear 5).
Sama tipsnya dengan transmisi automatik, biarkan komputer baca pendikit (throttle) pada rpm rendah dan kerap lepaskan pedal minyak jika rpm mula memanjat lebih 3 ribu, biasanya pada putaran ini, gear akan terus naik pada nisbah tertinggi.
- IKUT KENDERAAN BESAR
Kenderaan besar seperti lori dan trak trailer yang tinggi membantu anda menjimatkan minyak. Tapi, awas, ia memerlukan kemahiran kerana secara teknikalnya adalah berbahaya jika ikut terlalu rapat.
Pastikan jarak yang selamat dan kelajuan rendah, mengekori belakang kenderaan besar mengurangkan rintangan angin.
- KEKALKAN KELAJUAN
Mengekalkan kelajuan malar membantu jimatkan bahanapi. Cara ini amat mudah dilakukan jika anda memandu di lebuhraya. Sentiasa kekalkan kelajuan bergantung pada RPM. Misalnya anda memandu 100km/j dengan rpm 2,500, kekalkan posisi ini kerana beban enjin dan kelajuan sedang berada pada tahap optimum.
Andai kata berdepan dengan jalan mendaki, elakkan menekan lagi pedal minyak. Jika kenderaan masih mampu mendaki, kekalkan posisi pedal, anda akan lihat kelajuan menurun tetapi RPM masih sama. Sentiasa amalkan pemanduan mengikut RPM dan bukan mengikukt KELAJUAN.
- PADAMKAN AUTO CRUISE
Sistem auto cruise memang memudahkan pemanduan. Tak perlu tekan pedal minyak, cuma bersedia pada brek sahaja tapi tahukah anda ia juga menyebabkan penggunaan bahan bakar bertambah?
Sistem auto cruise kebanyakannya membaca pengesan kelajuan. Misalnya anda tetapkan kelajuan pada 110km/j, throttle akan dikawal pada kelajuan ini dan sesetengah sistem diintegrasi bersama brek. Lebih dari 110km/ brek akan diaktifkan.
Ketika mendaki, sistem auto cruise ini akan cuba mengekalkan kelajuan sebagaimana tips No 8 tadi. Lebih kelajuan, lebih rpm, lebih beban dan lebih bahanapi.
Tetapan kelajuan ini juga tak dapat membaca corak perjalanan, selekoh, beban, bukit dan halangan.
- PERIKSA TEKANAN TAYAR
Setiap tekanan tayar berbeza mengikut pengeluar dan jenis kereta. Ia biasanya ditampal pada bahagian sisi pintu setiap kereta.
Sila periksa tekanan tayar sekurang-kurangnya sebulan sekali dan patuhi arahan pengeluar. Tekanan tayar rendah akan menyebabkan pertambahan sentuhan permukaan dan geseran dan menyebabkan lebih minyak diperlukan untuk menggerakkan kenderaan.