Motosikal

TUNGGANG UJI: HONDA RS150R – JAGOAN HONDA SUDAH KEMBALI!!!

SHARE
Toyo Tyre – Mrec – Desktop

Saya suka memetik kata-kata seorang kawan rapat, Muhammad B. Md Tajudin dari geartinggi.com. kata beliau “Kalau Mark Zuckerberg buat facebook untuk hubungkan manusia, Soichiro Honda pula buat kenderaan untuk rakyat serata dunia pergi sekolah, cari makan, tingkatkan ekonomi, kawal keselamatan. Itu lah dia”

Tak dapat dinafikan bahawa Soichiro Honda telah menulis sejarah pengangkutan yang sangat berpengaruh dalam abad ini. Daripada seorang juruteknik bawah pokok yang menginventasi produk di rumah, siapa sangka Honda Cub merupakan motosikal sejagat yang boleh ditemui di segenap ceruk muka bumi.

Toyo Tyre – Leaderboard – Desktop

Ia merupakan motosikal asas yang sama dijual sejak 1958 hingga ke hari ini. Dianggarkan sebanyak 90 juta unit telah dijual dan menjadikannya motosikal paling laris dalam sejarah peradaban manusia. Di Malaysia, saya yakin setiap orang yang pandai penunggang motosikal pasti pernah memiliki Honda Cub atau berpengalaman menunggangnya.

Boon Siew Honda merupakan syarikat yang bertanggungjawab membawa jenama ini ke Malaysia. Sepertimana yang tertulis dalam sejarah, Honda Cub dari model C50, C70, C90 hingga ke generasi EX5 100 adalah identiti motosikal rakyat Malaysia. Tiada motosikal jenama lain yang pernah mengecapi kejayaan motor empat lejang ini.

Honda RS150R (4)

Zaman berubah dengan pantas. Dekad 70-an, 80-n dan 90-an merupakan fasa penting penguasaan Boon Siew Honda. Namun menjelang tahun 2000 mereka semakin ketinggalan. Terlalu banyak saingan,  tetapi Boon Siew Honda tidak berani berganjak daripada strategi bisnes lama. Mereka masih mengharapkan EX5 sebagai lubuk duit.

Apabila permintaan pengguna semakin kritikal, Honda tidak mengambil kesempatan ini. Mereka masih lena diulit mimpi indah EX5 yang digunakan hampir semua pengguna. Sewaktu zaman emas, mat despatch, syarikat penghantar, pekerja bandar, pelajar, orang kampung, Felda dan semuanya menggunakan EX5.

Saingan terdekatnya Yamaha mula belajar dari pasaran yang berubah. Produk-produk Yamaha semakin berdaya saing, banyak pilihan dan servis selepas jualan/alat ganti yang sangat bagus. Yamaha tidak banyak produk, tetapi mereka fokus pada satu-dua produk untuk menguasai pasaran. Ini terbukti apabila mereka mula memintas Honda pada 2014 (ketika Honda menghentikan pengeluaran EX5 original).

Honda cuba bangkit dengan barisan produk yang sebenarnya bagus, tetapi tidak cukup bagus untuk pasaran Malaysia. Skuter Spacy, PCX dan Airblade diperbaharui bersama model cub Future, Wave, Wave Alpha dan Dash.

Kita semua maklum, pasaran Malaysia masih lagi dominan dengan cub, bukannya skuter seperti Thailand dan Indonesia (Honda memiliki pasaran motosikal terbesar di dunianya di Indonesia)

Cub-sporty Honda yang ada di pasaran ialah Wave-Dash-Repsol. Dari segi reka bentuk, ia mungkin cub paling sport sejak model Hurricane dan Nova. Namun dari segi pakej untuk segmen sporty, ia ketinggalan. Pasaran sudah mula meminta sesuatu yang lebih berkuasa daripada 110CC dan akhirnya Honda akur dan memperkenalkan RS150R ke pasaran tempatan pada Jun lalu.

Honda RS150R (15)

REKABENTUK

Dari segi reka bentuk, Honda masih lagi bermain dengan jalan selamat. Secara zahirnya, ia kelihatan tidak banyak berbeza dengan komposisi adik beradiknya terutamanya Wave Dash 110. Kontur badan, binaan fairing, sisi, lampu belakang, papan instrumentasi semuanya tentang DNA Honda yang tajam, tirus dan banyak bahagian bersegi.

Sewaktu menunggang motosikal ini minggu lepas, saya terserempak dengan RS150R versi REPSOL dan saya dapat rasakan versi REPSOL itu memang lebih menyerlah. Versi warna matt yang saya tunggang nampak tak banyak beza dengan cub lain bila berhenti di lampu isyarat.

Orang lebih ramai menoleh kepada Yamaha Y15ZR berbanding RS150R. Itu adalah realiti. Badan RS150R ini tirus dan tak nampak pun ia seperti sebuah super-cub dengan blok condong dan sejukan cecair. Jika diparkir menyebelah dengan Wave Dash pun tidak nampak perubahan yang besar.

Honda RS150R (13)

KUASA

Ini adalah supercub Honda paling berkuasa yang pernah dibina. Ia bukanlah cub untuk menghantar anak ke sekolah atau ke tempat kerja semata-mata. Dengan kombinasi enjin 1 selinder DOHC suntikan bahan api PGM-Fi, 15 kuasa kuda yang memutar sehingga 11ribu rpm dengan selamba, ia boleh jadi cub untuk semua tujuan.

Saya menggemari karekteristik enjin RS150R ini. Enjinnya senyap, putarannya ringan dan lebih penting, ia sebuah enjin putaran tinggi (high revving) yang cukup responsif bagi standard sebuah cub. Pada laluan lurus, jalan rata, tanpa menundukkan badan, kelajuan tertinggi yang dapat saya catat ialah 138km/j.

Sebagai perbandingan, sewaktu menunggang uji Yamaha Y15ZR tahun lepas, saya mencatat kelajuan 131km/j. Bezanya, sekarang, berat saya dah bertambah 8kg (dulu 73kg, sekarang 81kg-gemuk).

Ia bukan setakat kuasa semata-mata. Dengan karekter enjin putaran tinggi tadi, ia membenarkan anda menggunakan mana-mana gear dengan selesa. 7,000rpm-10,500rpm merupakan lengkuk kuasa optimum RS150R.

Kelebihan 6 kelajuan memang sangat membantu lebih-lebih lagi ketika rpm berputar tinggi. Jika anda biasa menunggang cub yang lemau, RS150R ini adalah jawapan pada segala-galanya. Tork dan enjin putaran tinggi. Saya percaya dengan sedikit talaan di bahagian sprocket, kelajuan tertinggi dapat ditingatkan dengan mudah tanpa mengorbankan pecutan rpm rendah.

Honda RS150R (9)

PENGENDALIAN

Kebanyakan motosikal cub hari ini mempunyai karekteristik kedudukan tunggangan hampir sama. Bar hendal yang ditinggikan (jika anda faham maksud saya). Lihat Honda EX5, Yamaha SS110, RG Sport, Wave, Smash, Modenas CT tidak rasa banyak berbeza tetapi untuk RS150R mereka buat bar hendal sedikit lebih rendah.

Ada komen memberitahu kedudukan badan RS150R lebih tinggi dari Y15ZR tapi sebenarnya tidak. Ia ilusi semata-mata. Kedudukan pelana bagi kedua-dua model ini sama 780mm. Namun kedudukan tunggangan RS150R lebih sporty dengan kerusi lebih tirus.

Boleh tahan kebas juga punggung kalau anda jenis berbadan sado (baca gemuk) seperti penulis-iaitu saya. Saya lebih menggemari pelana jenis lebar atau jika ada pilihan, pelana tirus tapi tebal dan empuk. Tapi nanti dulu. Ada ke?

Saya percaya sudut tunggangan RS150R akan jadi benchmark baru untuk supercub Honda seterusnya. Mereka banyak fokus pada pengendalian dengan memasang tayar 120/70 di belakang (sama seperti Y15ZR) dan 90/80 di depan (Y15ZR 70/90 lebih kecil).

Dengan permukaan tayar depan lebih lebar, menurunkan badan motosikal ini di selekoh memang mudah dan stabil. Membrek lewat juga masih meyakinkan, cuma kalau boleh dipasangkan dengan dengan brek 2 pot depan saya rasa lebih bagus.

Honda RS150R (21)

KESIMPULAN

Honda akhirnya akur dengan permintaan pasaran yang semakin mendesak. Tanpa perlu berselindung lagi, RS150R adalah jawapan Honda kepada Y15ZR. Honda mungkin lambat tetapi mereka benar-benar mahu kembali ke penguasaan pasaran tempatan.

Honda sudah lama berada di puncak, namun kegagalan mengikut rentak pasaran menyebabkan mereka jatuh ke angka 19%. Matlamat terkini Boon Siew Honda ialah untuk kembali ke takhta dengan sasaran penguasaan 25% pada penghung tahun ini dan 50% menjelang tahun 2020.

Nobuhide Nagata, CEO Boon Siew yang baru dilantik optimis bahawa RS150R bakal jadi produk premium kapcai yang berjaya. Saya juga yakin RS150R tiada masalah langsung untuk dipasarkan. Ia sebuah pakej super-cub premium yang memenuhi kehendak pasaran.

Jenama Honda sudah dipercayai sejak turun temurun. Kualiti bukanlah satu isu. Harga RM9,000 – RM9,800 (atas jalan bergantung pada kedai) juga agak berpatutan. Selebihnya bergantung kepada promosi dan aftersales.

Cuma pada pendapat saya aktiviti lepas jualan tu perlu diperkemaskan lagi. Hub Boon Siiew Honda di Kepong itu perlu diintegtrasikan dengan kilang pemasangan di Batu Kawan. Pastikan semua alat ganti telah tersedia di sana.

 

Honda RS150R (26)Honda RS150R (25) Honda RS150R (24) Honda RS150R (23) Honda RS150R (22) Honda RS150R (17) Honda RS150R (18) Honda RS150R (19) Honda RS150R (20) Honda RS150R (21) Honda RS150R (16) Honda RS150R (15) Honda RS150R (14) Honda RS150R (13) Honda RS150R (12) Honda RS150R (7) Honda RS150R (8) Honda RS150R (9) Honda RS150R (10) Honda RS150R (11) Honda RS150R (6) Honda RS150R (5) Honda RS150R (4) Honda RS150R (3) Honda RS150R (2) Honda RS150R (1) Honda RS150R (16)

 

Tags
Google ads
Back to top button