Buletin

LEXUS IS MASIH HIDUP – FACELIFT 2026 TAMPIL LEBIH MODEN

Ramai menjangkakan Lexus akan melancarkan generasi baharu model IS, namun jenama mewah Jepun itu memilih jalan berbeza, memperkenalkan satu lagi versi kemas kini menjelang awal 2026.

Sedan kompak ini tampil dengan rekaan hadapan lebih tajam, kabin diperbaharui serta penambahbaikan pada aspek pemanduan dan keselamatan.

Generasi ketiga IS mula diperkenalkan pada 2013, diikuti perubahan ringan pada 2017 dan facelift lebih ketara pada 2020.

Kini, Lexus memberi nafas segar sekali lagi, memanjangkan hayat model ini berbanding menamatkan produksinya. Keputusan ini juga dipercayai berkait dengan pelarasan strategi elektrifikasi Lexus, selepas khabar angin mengenai pengganti serba elektrik tidak menjadi kenyataan.

Perubahan paling jelas dapat dilihat pada bahagian depan. Gril spindle kini direka lebih kecil di bahagian atas dan mengalir kemas ke lampu utama LED, manakala logo Lexus dipindahkan lebih tinggi, hampir ke hujung bonet.

Reka bentuk bampar turut diberi garisan baharu yang lebih agresif. Bahagian lain masih dikekalkan, namun IS kini ditawarkan dengan rim aloi 19-inci, spoiler belakang lebih besar serta tulisan “Lexus” di penutup but.

Untuk varian F Sport, pilihan warna termasuk lapan jenis kemasan dengan tambahan pilihan angkup brek berwarna merah.

Bahagian dalam pula menerima transformasi besar. Paparan digital ganda 12.3-inci menggantikan sistem lama, skrin infotainmen kini lebih rendah dan menyokong sentuhan penuh tanpa lagi menggunakan touchpad yang kurang digemari.

Papan pemuka, konsol tengah serta panel pintu direka semula, manakala jam analog dan pemain CD digugurkan. Lexus turut menambah sentuhan semula jadi dengan kemasan “Forged Bamboo” serta pilihan warna dalaman baharu yang dinamakan Prominence.

Sistem keselamatan dipertingkat dengan Lexus Safety System +, termasuk teknologi pemanduan separa automatik di lebuh raya. Kejuruteraan casis juga diberi perhatian – stereng kuasa elektrik baharu dengan nisbah berubah-ubah menjanjikan kawalan lebih tepat, manakala suspensi adaptif jenis solenoid menawarkan tindak balas lebih pantas dan selesa.

Untuk kuasa, pilihan enjin masih sama – IS 300h dengan hibrid 2.5 liter berkuasa 217hp, dan IS 350 dengan enjin V6 3.5 liter berkuasa 314hp.

Model V8 IS 500 pula tidak lagi diteruskan, selepas edisi khas Climax (Jepun) dan Ultimate (AS) dijadikan penutup tirai.

Lexus mengesahkan IS facelift ini akan dijual di pelbagai pasaran global bermula awal 2026. Sejak debut pada 1999, lebih 1.3 juta unit IS sudah terjual di 40 negara, menjadikannya antara model terpenting dalam portfolio Lexus.

Google ads
Back to top button