
VIOS GR SPORT HEV, SEDAN SEMANGAT SUKAN
Sebelum ini, pada tahun 2023 penulis pernah memandu uji Toyota Vios generasi baharu dalam varian 1.5G di Pulau Langkawi sebelum pelancaran rasmi. Satu perkara yang menarik perhatian ialah ruang kargo belakang yang dibiarkan kosong dan tidak lagi digunakan untuk menempatkan tayar simpanan kecemasan
Malah ketika meneliti struktur di bawah lantai but, timbul persoalan sama ada Toyota sebenarnya sudah menyediakan ruang untuk komponen sistem hibrid pada masa hadapan. Tiga tahun kemudian, persoalan itu akhirnya terjawab dengan kemunculan Toyota Vios HEV.
Toyota tidak sekadar memasang sistem hibrid pada Vios sedia ada. Sebaliknya, mereka turut memperkenalkan varian GR Sport yang menerima talaan casis, stereng dan suspensi yang berbeza bagi memberikan karakter pemanduan lebih sporti tanpa mengorbankan keselesaan penggunaan harian.

Dari segi rekaan luaran, Vios GR Sport masih mengekalkan bentuk badan yang moden dengan rekaan fastback yang pada rekaan bahagian belakang. Rekaan sebegini bukan sahaja memberikan penampilan yang lebih kemas, malah membantu meningkatkan kecekapan aerodinamik.
Cuma ada satu perkara yang agak pelik ialah, kebanyakan model hibrid Toyota yang lama menggunakan logo Toyota dengan latar biru sebagai identiti sebagai pengenalan kenderaan hibrid. Namun pada Vios HEV, Toyota memilih untuk mengekalkan logo biasa dengan perkataan HEV disemat pada pintu ruang kargo.
Bagi pengguna dan pembaca yang tidak mengikuti perkembangan automotif, agak sukar untuk membezakan model ini dengan Vios enjin petrol biasa hanya melalui logo hadapan atau rekaan luar melainkan mereka perasan yang model hibrid menggunakan rim 5 lubang untuk menampung berat komponen sistem hibrid.

Sebagai varian paling sporty, GR Sport menerima beberapa sentuhan eksklusif yang membezakannya daripada varian lain. Bahagian hadapan menggunakan gril honeycomb yang lebih agresif bersama logo GR.
Bampar hadapan turut diberikan bukaan udara yang lebih besar bagi menyerlahkan imej yang garang. Kemasan hitam berkilat dipasang pada skirt sisi, penutup but belakang dan beberapa komponen luaran menjadikan keseluruhan penampilan lebih ranggi.
Di bahagian belakang pula, spoiler bersama vortex generator bersaiz agak besar memberikan sedikit aura jentera perlumbaan Toyota Gazoo Racing. Ia mungkin tidak memberi kesan aerodinamik yang begitu ketara pada kelajuan jalan raya biasa, namun dari sudut visual, ia berjaya menjadikan Vios HEV GR Sport tampil lebih menyerlah berbanding sedan segmen B lain.

Varian GR Sport juga menerima rim aloi bersaiz 17″ dengan rekaan seperti yang digunakan oleh GR Yaris, tetapi ditutup dengan bijak bagi menghasilkan kesan aerodinamik yang lebih bagus. Toyota juga memberikan bersama talaan suspensi khas GR Sport untuk varian ini.
Versi ini menggunakan kombinasi spring dan penyerap hentak serta pelapik getah yang lebih keras serta talaan stereng khusus bagi menghasilkan maklum balas yang lebih tepat ketika mengambil selekoh. Ini bukan sekadar perubahan kosmetik semata-mata, malah benar-benar memberi kesan kepada karakter pemanduannya.
Memasuki ruang kabin, perubahan paling ketara ialah peningkatan dari segi teknologi dan suasana dalaman. Toyota memperkenalkan lampu ambien dengan sehingga 64 pilihan warna bersama light bar yang merentasi papan pemuka. Ia memberikan suasana lebih premium terutama ketika memandu pada waktu malam.

Sistem infotainmen kini menggunakan skrin sentuh bersaiz 10.1 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar. Saiz skrin yang lebih besar menjadikan paparan navigasi lebih jelas dan mudah dibaca.
Di hadapan pemandu pula terdapat kluster meter digital bersaiz tujuh inci yang memaparkan pelbagai maklumat sistem hibrid secara lebih kemas. Namun sayang skrin animasi untuk sistem hibrid dihasilkan seperti menggunakan skrin Nokia 3310 hitam putih
Turut disediakan ialah pengecas telefon tanpa wayar serta dua port USB-C untuk penumpang belakang dan satu USB A di ruang depan, aspek yang semakin menjadi keperluan bagi pengguna moden.

Untuk varian GR Sport, Toyota menggunakan tema dalaman serba hitam dengan kemasan dark silver pada beberapa bahagian papan pemuka. Tempat duduk dibalut kombinasi kulit dan suede bersama logo GR pada penyandar, pelapik kaki serta roda stereng turut menerima logo GR yang memberikan sedikit rasa eksklusif setiap kali berada di belakang roda.
Walaupun begitu, masih ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki. Ruang kepala tidaklah begitu luas terutama bagi pemandu atau penumpang yang bertubuh tinggi. Selain itu, pelarasan stereng dari segi reach dan height masih agak terhad.
Penulis mengambil sedikit masa untuk mendapatkan posisi pemanduan yang benar-benar selesa. Namun aspek lain seperti kedudukan dan sudut pemijak pedal minyak dan brek dipasang dengan cemerlang.

Di bawah bonet, Vios HEV menggunakan enjin 2NR-VEX empat silinder 1.5 liter kitaran Atkinson dengan nisbah mampatan 11.5:1. Enjin ini menghasilkan 91 PS dan 121 Nm tork. Ia kemudian digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 59 PS dan 141 Nm, menjadikan keseluruhan sistem menghasilkan 111 PS.
Kuasa elektrik disimpan dalam bateri lithium-ion berkapasiti 0.7 kWh yang dipasang di bawah kusyen tempat duduk belakang. Kedudukan bateri ini membantu merendahkan pusat graviti kenderaan tanpa mengorbankan ruang kabin dan ruang kargo.
Sementara itu, bateri 12 volt diletakkan di ruang kargo, namun Toyota masih berjaya mengekalkan kapasiti but sekitar 460 liter yang masih praktikal untuk kegunaan harian. Bagi penulis kedudukan bateri hibrid dan bateri 12v ini menjadikan agihan berat Vios HEV ini sekitar 60:40 pada bahagian depan dan belakang.

Sistem hibrid ini menggunakan Toyota Hybrid System generasi keempat yang menggabungkan enjin, dua motor elektrik dan set gear planetari yang bertindak sebagai power split device. Berbanding transmisi CVT konvensional, sistem ini memberikan penyaluran kuasa yang jauh lebih lancar kerana enjin dan motor elektrik sentiasa bekerjasama mengikut keadaan pemanduan.
Toyota menyediakan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Power. Apa yang menarik, walaupun berada dalam mod Normal, bantuan motor elektrik sudah cukup untuk memberikan tindak balas pendikit yang pantas.
Pecutan awal terasa sangat lancar, hampir menyamai pengalaman memandu sebuah EV dalam kelajuan rendah. Toyota mendakwa pecutan 0 hingga 100 km/j mengambil masa sekitar 10.5 saat, jauh lebih pantas berbanding Vios 1.5G yang memerlukan kira-kira 12 saat.

Walaupun kelajuan maksimum sekitar 160 km/j, karakter sebenar Vios HEV bukanlah untuk pemanduan berkelajuan tinggi, sebaliknya memberikan prestasi yang responsif ketika memotong atau bergerak dalam trafik bandar.
Aspek yang paling mengagumkan ialah tahap kelancaran sistem hibridnya. Dalam banyak keadaan, sukar untuk menyedari bilakah enjin petrol mula dihidupkan kerana peralihan antara motor elektrik dan enjin berlaku dengan cermat dan senyap tanpa sentapan.
Pada kelajuan sekitar 80 hingga 90 km/j, kadangkala enjin sudah pun beroperasi tetapi bunyi dan getarannya hampir tidak dapat dikesan. Hanya apabila memandu pada kelajuan lebuh raya yang lebih tinggi atau menekan pendikit dengan lebih agresif barulah bunyi enjin mula kedengaran dengan jelas.

Sepanjang pemanduan, penggunaan bahan api yang dicatatkan juga sangat mengagumkan dengan rekod penulis sekitar 27.8 km/l berjaya dicapai. Untuk pemanduan dalam bandar, angka sekitar 28.6 km/l bukan sesuatu yang mustahil, manakala di lebuh raya dengan kelajuan sekitar 130 hingga 140 km/j, Vios HEV GR Sport masih menawarkan angka 21 km/l.
Bagi pembeli yang memandu jarak jauh setiap hari, penjimatan ini mampu memberikan perbezaan yang ketara terhadap kos penggunaan bulanan. Namun perkara yang paling mengejutkan sebenarnya ialah aspek pengendalian.
Jika anda memandu Vios dengan laju di lebuh raya, anda akan rasakan yang Vios ini lebih stabil walaupun mengambil selekoh pada halaju tinggi. Secara umum penambahan bateri akan menyebabkan sesebuah kereta menjadi lebih berat dan kurang lincah.

Namun pada Vios HEV, Toyota berjaya memanfaatkan penempatan bateri untuk meningkatkan keseimbangan casis. Dengan bateri hibrid di bawah tempat duduk belakang dan bateri 12 volt di ruang kargo, pusat graviti menjadi lebih rendah manakala agihan berat antara hadapan dan belakang menjadi lebih sekata.
Walaupun berat keseluruhan meningkat sekitar 125 kg, kereta ini terasa lebih stabil ketika memasuki selekoh. Hanya sedikit input pada stereng sudah cukup membuatkan bahagian belakang segera mengikut arah pusingan.
Momen inersia yang lebih rendah menjadikan perubahan arah terasa lebih pantas dan semula jadi. Hasilnya, body roll ketika mengambil selekoh berkurangan dengan ketara. Nose dive ketika membrek juga lebih terkawal, manakala squat ketika memecut tidak begitu ketara.

Apabila semua elemen bergabung dengan talaan suspensi GR Sport yang lebih tegar serta talaan stereng khas, Vios HEV memberikan keyakinan yang lebih tinggi berbanding Vios biasa tanpa menjadi terlalu keras untuk kegunaan harian.
Toyota turut menggunakan brek cakera pada keempat-empat roda, memberikan rasa pedal yang lebih konsisten dan responsif. Mod B pada tuil gear pula membantu meningkatkan regenerative braking ketika menuruni bukit, walaupun ia tidak menawarkan paddle shifter seperti yang terdapat pada Innova Zenix Hybrid.
Dari sudut keselamatan, platform DNGA-B membolehkan Toyota memasang radar dan sensor pada kedudukan yang lebih baik berbanding dengan Vios generasi sebelumnya. Hasilnya, sistem Toyota Safety Sense terasa lebih pantas bertindak balas.

Sistem brek kecemasan automatik juga dilihat lebih sensitif dan lebih yakin berbanding model terdahulu, sekali gus meningkatkan keyakinan ketika memandu di kawasan bandar.
Sudah tentu Vios HEV GR Sport ini masih ada beberapa kelemahan. Walaupun skrin infotainmen lebih besar, antara muka perisiannya (User Interface) masih kelihatan biasa. Paparan kamera 360 darjah pula kurang jelas ketika waktu malam dan kadar penyegaran imej agak perlahan.
Selain itu, proses untuk mengaktifkan paparan kamera juga terasa sedikit leceh berbanding beberapa pesaing dari China yang menawarkan akses lebih pantas disebabkan tiada butang fizikal khusus pada roda stering

Secara keseluruhannya, Toyota Vios HEV GR Sport hadir pada waktu yang sangat tepat tapi sedikit terlambat. Dengan harga bahan api yang tidak menentu dan semakin ramai pengguna memandu jarak jauh setiap hari, keupayaan mencapai penggunaan sekitar 27 hingga 28 km/l memberikan kelebihan yang sangat besar.
Jika seseorang menggunakan kira-kira 150 liter petrol sebulan atau memandu lebih kurang 4,000 kilometer setiap bulan, penjimatan yang ditawarkan oleh sistem hibrid ini boleh menjadi sangat signifikan dalam jangka panjang.
Namun, landskap automotif hari ini juga jauh lebih mencabar. Dalam julat harga yang hampir sama, pembeli kini mempunyai pilihan seperti Proton eMas 7 PHEV, Chery Tiggo Cross Hybrid malah beberapa model EV yang menawarkan ruang lebih besar atau keupayaan pemanduan elektrik sepenuhnya.

Jika keutamaan anda ialah sebuah kereta yang halus, sangat menjimatkan bahan api, menyeronokkan dipandu dan tidak memerlukan perubahan gaya hidup seperti memiliki EV, Vios HEV GR Sport ialah antara pilihan terbaik dalam kelasnya.








