Buletin

TOYOTA GR SUPRA DILANCARKAN! DARI RM568K!

Inilah berita yang ditunggu-tunggu ramai, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UWMT) hari ini secara rasminya memperkenalkan Toyota GR Supra Serba Baru untuk pasaran Malaysia.

Model ini membawa kembali jentera ikonik berkenaan ke dalam barisan kenderaan yang ditawarkan Toyota ketika ini, serta menjadi model flagship daripada Toyota untuk peminatnya.

Toyota GR Supra diperkenalkan oleh Ketua Pegawai Sukan Permotoran UMWT (yang juga Timbalan Pengerusi syarikat), Akio Takeyama, diiringi Tengku Djan Ley “Raja” drift tempatan.

Turut sama hadir dan menyaksikan pengenalan model yang dinanti-nantikan itu ialah beberapa kelab kereta, peserta TGR Festival dan Vios Challenge, dan sudah tentu peminat tegar Supra sendiri.

“Buat pertama kalinya, tumpuan dan perhatian diberikan terhadap kemampuan pengendalian model GR Supra. Presiden kami sendiri mahukan yang terbaik dari sudut prestasi dan untuk itu, segala kepakaran dan sumber Toyota dihalakan sepenuhnya untuk pembangunan kereta sport ini. Ini sebuah kereta sport dalam erti kata yang sebenar, tanpa sebarang kompromi,” jelas Takeyama.

Dengan matlamat menghasilkan kereta yang lebih baik, jurutera yang terlibat telah memberikan segalanya bagi menghasilkan sentuhan penuh emosi untuk dinikmati pemandu. Sebahagian datang dari bunyi ekzos yang memperkukuhkan lagi perwatakan pemanduan kereta ini serta menyumbang kepada pengalaman pemanduan jitu secara keseluruhannya.

Toyota GR Supra Serba Baru ini adalah dari generasi kelima model berkenaan yang mula diperkenalkan pada tahun 1978. Menjadi pilihan popular pasukan-pasukan lumba sejak itu, Supra turut muncul di dalam permainan video (Gran Turismo, Need For Speed) dan filem seperti siri The Fast & Furious.

Toyota Gazoo Racing pula merupakan organisasi penaung kepada program sukan permotoran Toyota diperingkat global. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia telah berjaya mencapai kejayaan tertinggi dengan menang di dalam perlumbaan Le Mans 24 Hours untuk Kejuaraan Endurans Dunia, Kejuaraan Pengeluar di dalam Kejuaraan Rali Dunia FIA serta Rali Dakar 2019.

Bermula dengan model GR Supra Serba Baru, Toyota Gazoo Racing memindahkan pengetahuan teknikal yang diperolehi dari litar lumba dan rali kepada pembangunan generasi baru model kenderaan sport Toyota, dan bakal dilanjutkan kepada banyak lagi barisan model lainnya.

GR Supra Serba Baru merupakan model pertama yang dihasilkan oleh Toyota Gazoo Racing untuk pasaran global.

Bagi pasaran Malaysia, UMWT menawarkan GR Supra dalam satu varian sahaja, iaitu dengan spesifikasi GTS. Ia datang bersama enjin 3.0 liter turbocas enam-silinder sebaris, menghasilkan sebanyak 250 kW/340 PS kuasa serta tork puncak 500 Nm. Ia dipacu roda belakang melalui transmisi automatik lapan-kelajuan yang digandingkan dengan fungsi kawalan pelancaran yang membolehkan kereta ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.3 saat.

Selain mempunyai nisbah agihan berat 50:50, dinamik pemanduan yang mantap pada GR Supra Serba Baru ini juga dipertingkatkan lagi dengan ciri Adaptive Variable Suspension dan Limited slip Differential (LSD) kawalan elektronik.

Pemandu juga boleh menyesuaikannya dengan beberapa talaan untuk mendapatkan prestasi yang diinginkan daripada kereta sport ini serta untuk mengawal bantuan elektronik yang ada.

Walaupun GR Supra Serba Baru direka untuk pemanduan sporty, ruang dalamannya tetap menampilkan ketelitian dan keselesaan untuk perjalanan jauh.

Sesuai dengan status flagship kereta ini, ruang dalamannya didatangkan dengan kehalusan buatan dengan senarai kelengkapan terkini, misalnya termasuk kawalan pendingin hawa dua-zon, sistem kunci pintar dan  butang penghidup enjin, kerusi balutan kulit, paparan Head-Up, kerusi sport larasan elektrik dengan sokongan lumbar, cermin pandang belakang elektrokromatik dan sistem audio dengan 12 pembesar suara JBL.

Pelanggan boleh memilih daripada lapan warna yang ditawarkan; Prominence Red, Lightning Yellow, White Metallic, Deep Blue Metallic, Silver Metallic, Matte Storm Grey Metallic, Black Metallic dan Ice Grey Metallic.

Selain melancarkan GR Supra Serba Baru, Takeyama juga mengumumkan bahawa GR Garage kini telah membuat penampilannya di Malaysia. Cawangan-cawangan Toyota terpilih akan menyediakan konsep “kedai dalam kedai” ini untuk menjual produk-produk GR — bermula dengan GR Supra, produk-produk prestasi tinggi GR serta cenderahati GR.

Sebagai permulaan, ia melibatkan lima cawangan — tiga di Lembah Klang dan masing-masing satu cawangan di Utara dan Selatan tanah air. Konsep GR Garage diperkenalkan di Jepun beberapa tahun lalu dan Malaysia menjadi pasaran luar Jepun yang PERTAMA menawarkannya kepada pelanggan.

“TGR Festival, Vios Challenge dan Toyota Velocity Esports Championship telah menunjukkan bagaimana Toyota menyuntik semangat perlumbaan ke dalam aktiviti yang kami anjurkan. Bagaimanapun, kami merasakan ini tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan dan keinginan peminat kereta di sini. Jadi, kami hadir dengan sebuah platform baru — GR Garage, sebuah tempat di mana peminat boleh berkumpul dan berbual tentang minat mereka terhadap kereta… terutamanya kereta sport dan juga sukan permotoran,” jelas Takeyama.

Harga atas jalan tanpa insurans untuk Toyota GR Supra ini bermula dari RM 568,000 untuk pendaftaran persendirian di Semenanjung Malaysia.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Toyota GR Supra Serba Baru dan lokasi cawangan pengedar dengan GR Garage, pelanggan boleh melayari laman toyota.com.my/vehicles/gr-lineup/supra atau hubungi talian bebas tol di 1-800-8-TOYOTA (869682).

GALERI

Google ads
Back to top button