Buletin

TOYOTA IS KING! 10 JUTA LAND CRUISER BERJAYA DIJUAL SEJAK TAHUN 1951

Dalam barisan produk Toyota memang banyak yang sudah mencapai tahap ikonik dan legenda. Ia bukan dari satu segmen malah pelbagai contohnya Starlet, AE86, Supra, Hilux, Land Cruiser dan sebagainya.

Dalam banyak-banyak model keluaran Toyota, Land Cruiser adalah model paling lama dijual. Dilancarkan pada 1 Ogos 1951 dengan nama Jeep BJ, model Land Cruiser terus dikeluarkan sehinga sekarang.

Selain model paling lama dijual, Land Cruiser juga mencatat sejarah baharu apabila jualannya telah mencecah 10 juta unit pada 31 Ogos 2019.

Toyota dari dahulu lagi sudah memandang ke pasaran global, program import skala penuh Land Cruiser bermula dengan siri 20 yang diperkenalkan pada November 1955.

Jumlah eksport pada masa itu tidak sampai 100 unit setahun dan menjelang 1965 meningkat berkali ganda melebihi 10,000 unit setiap tahun.

Sejak itu Toyota terus mengeluarkan pelbagai generasi yang memenuhi keperluan pengguna dan paling penting kekal dengan ketahanan dan keupayaan untuk dipandu di atas pelbagai bentuk jalan raya.

Satu fakta menarik apabila masih ada lagi Land Cruiser siri 40 yang digunakan sampai sekarang walaupun dikeluarkan 50 tahun dahulu.

Sekarang ini Land Cruiser dijual di sekitar 170 buah negara dengan jualan global dianggarkan sebanyak 400,000 unit setahun.

Sejarah Land Cruiser sebenarnya adalah simbol kepada pegangan QDR Toyota iaitu Quality, Durability, and Reliability. Jip ini digunakan untuk pelbagai tujuan sama ada sebagai tuntutan kerja mahu pun gaya hidup.

Ia adalah sebuah jip yang membolehkan manusia pergi ke mana mereka mahu, bila dan kembali dengan selamat.

Di Afrika, Land Cruiser digunakan bagi pengangkutan untuk kerja-kerja kemanusiaan.

Di Burundi jip ini digunakan sebagai pengangkutan untuk kanak-kanak yang dijangkiti malaria manakala di kem pelarian Uganda ia digunakan sebagai pengangkutan untuk ke klinik.

Negara yang paling meminati Land Cruiser ialah Australia dengan jualan sebanyak 1.065 juta unit atau 10.6 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Di sana Land Cruiser digunakan di lombong besi dan tembaga pada jarak 1,600 meter di bawah tanah. Jip in juga digunakan di ladang-ladang ternakan yang bersaiz mega.

Di Costa Rica, Land Cruiser digunakan untuk tuaian tanaman lobak pada ketinggian 3,500 meter, di lereng curam yang manusia sendiri sukar untuk berdiri. 

Dari contoh kegunaan Land Cruiser ini, tidak hairan kenapa ianya begitu digemari pelbagai pengguna dan dijual sehingga sekarang.

Land Cruiser bukan setakat kenderaan tetapi sudah menjadi teman hidup yang banyak berjasa kepada manusia. Terima kasih Toyota!

BACA: SELAMAT TINGGAL TOYOTA ESTIMA. (1990-2019)

BACA: PADA 2008 TOYOTA ALPHARD DIPISAH 2, JADI VELLFIRE SAMPAI SEKARANG

BACA: #IKLANPILIHAN: MENCARI PEMBELI KENTAL. TOYOTA KE20 FULL RESTORED!

Tags
Google ads
Back to top button