Buletin

TOYOTA GR SUPRA RASMI DILANCARKAN. BERMULA RM568K!

UMW Toyota Motor hari ini secara rasminya memperkenalkan Toyota GR Supra untuk pasaran Malaysia.

Model ini membawa kembali jentera ikonik berkenaan ke dalam barisan kenderaan yang ditawarkan Toyota ketika ini, serta menjadi model flagship daripada Toyota untuk para peminatnya.

Toyota GR Supra merupakan generasi kelima selepas diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1978. Menjadi pilihan popular pasukan-pasukan lumba sejak itu, Supra turut muncul di dalam permainan video (Gran Turismo, Need For Speed) dan filem seperti siri The Fast & Furious.

Jentera tersebut diperkenalkan oleh Ketua Pegawai Sukan Pemotoran UMWT yang juga Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama dan Tengku Djan Ley yang sangat dikenali dalam kalangan pelumba kereta tempatan terutama drifting.

Jentera itu ditawarkan pada harga bermula RM568,000. Ia hadir dalam lapan warna iaitu merah, perak metalik, kuning, putih, biru, hitam dan kelabu metalik.

UMW Toyota Motor menawarkan GR Supra hanya dalam satu varian, spesifikasi GTS. Ia dikuasakan oleh enjin 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris yang mampu menjana 250hp dan tork puncak 500Nm.

Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan talaan sport yang pantas. Gabungan itu membolehkannya memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 4.3 saat.

Rim aloi ringan dan kukuh bersaiz 19-inci menjadi kelengkapan standard.

Selain mempunyai nisbah agihan berat 50:50, dinamik pemanduan mantap GR Supra dipertingkatkan lagi dengan Adaptive Variable Suspension dan Limited slip Differential (LSD) kawalan elektronik.

Pemandu boleh menyesuaikannya dengan beberapa talaan untuk mendapatkan prestasi yang diinginkan dan menghadkan atau bantuan elektronik yang ada.

Walaupun GR Supra direka untuk pemanduan sporty, ruang dalamannya tetap menampilkan ketelitian dan keselesaan untuk perjalanan jauh. Sesuai dengan status flagship kereta ini, ruang dalamannya menjanjikan kehalusan buatan berkualiti tinggi dengan senarai kelengkapan terkini.

Antaranya termasuklah kawalan pendingin hawa dua-zon, sistem kunci pintar dan  butang penghidup enjin, kerusi dibalut kulit, paparan Head-Up, kerusi sport larasan elektrik dengan sokongan lumbar, cermin pandang belakang elektrokromatik dan sistem audio dengan 12 pembesar suara JBL.

“Buat pertama kalinya sejak sekian lama, banyak tumpuan dan perhatian diberikan terhadap kemampuan pengendalian model terbabit. Presiden kami sendiri mahukan yang terbaik dari sudut prestasi GR Supra.

“Justeru, segala kepakaran dan sumber yang dimiliki syarikat ditumpukan sepenuhnya untuk pembangunan kereta sport ini. Ini sebuah kereta sport dalam erti kata yang sebenar, tanpa sebarang kompromi,” jelas Takeyama.

Bermatlamat untuk menghasilkan kereta yang lebih baik, jurutera yang terlibat telah memberikan pengalaman dan menyuntik sentuhan penuh emosi untuk dinikmati pemandu.

Sebahagian daripadanya datang dari bunyi ekzos yang mengukuhkan lagi perwatakan pemanduan kereta ini. Selain menyumbang kepada pengalaman pemanduan jitu secara keseluruhannya.

Bermula dengan model GR Supra, Toyota Gazoo Racing memindahkan pengetahuan teknikal yang diperolehi dari litar lumba dan rali kepada pembangunan generasi baru model kenderaan sport Toyota.

Usaha itu akan diteruskan kepada banyak lagi barisan model lain. GR Supra merupakan model pertama yang dihasilkan oleh Toyota Gazoo Racing untuk pasaran global.

Toyota Gazoo Racing pula ialah pihak yang bertanggungjawab ke atas program sukan pemotoran Toyota di peringkat global.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia telah berjaya mencapai kejayaan tertinggi dengan menang dalam perlumbaan Le Mans 24 Hours untuk Kejuaraan Endurans Dunia, Kejuaraan Pengeluar dalam Kejuaraan Rali Dunia FIA serta Rali Dakar 2019.

Selain melancarkan GR Supra, Takeyama juga mengumumkan bahawa GR Garage kini telah membuat penampilannya di Malaysia.

Cawangan-cawangan Toyota terpilih akan menyediakan konsep “kedai dalam kedai” ini untuk menjual produk-produk GR. Bermula dengan GR Supra, produk-produk prestasi tinggi GR serta cenderahati GR.

Sebagai permulaan, ia melibatkan lima cawangan iaitu tiga di Lembah Klang dan masing-masing satu cawangan di Utara dan Selatan tanah air. Konsep GR Garage diperkenalkan di Jepun beberapa tahun lalu dan Malaysia menjadi pasaran luar Jepun yang pertama menawarkannya kepada pelanggan.

“TGR Festival, Vios Challenge dan Toyota Velocity Esports Championship telah menunjukkan bagaimana Toyota menyuntik semangat perlumbaan ke dalam aktiviti yang kami anjurkan.

Bagaimanapun, kami merasakan ini tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan dan keinginan peminat sukan permotoran dan kereta di sini.

Jadi, kami hadir dengan sebuah platform baru — GR Garage, sebuah tempat di mana peminat boleh berkumpul dan berbual tentang minat mereka terhadap kereta… terutamanya kereta sport dan sukan permotoran,” jelas Takeyama.

Maklumat lanjut mengenai Toyota GR Supra dan lokasi cawangan pengedar dengan GR Garage, sila layari laman toyota.com.my/vehicles/gr-lineup/supra atau hubungi talian bebas tol: 1-800-8-TOYOTA (869682).

GALERI

Google ads
Back to top button