
TOYOTA HILUX AT35 DITAWARKAN DI UK – GUNA TAYAR AT 35”, 25% LEBIH TINGGI
Toyota dan Arctic Trucks meneruskan kolaborasi mereka apabila memperkenalkan model. Hilux AT35 ke pasaran United Kingdom.
Jentera tersebut dijadual diperkenalkan kepada umum dalam acara Pameran Kenderaan Komersial 2018 di Birmingham, UK pada 24 April dan dijual tidak lama selepas itu.
Hilux AT35 dipasang dengan tayar semua laluan (AT) bersaiz 35 inci (315/70R17). Ia juga dilengkapi suspensi khas dan kelegaan tanah lebih 25 peratus berbanding trak pikap konvensional.
BACA: SELAMAT ULANG TAHUN KE-50 TOYOTA HILUX!
Penghasilan Hilux AT35 itu sempena ulang tahun ke-50 trak pikap yang cukup lasak tersebut. Ia akan ditawarkan kepada pelanggan komersial dan persendirian di seluruh UK.
Trak pikap tersebut menggunakan khidmat enjin turbo diesel empat silinder bersesaran 2.4 liter dengan kuasa 148hp yang dipadankan bersama kotak gear automatik enam kelajuan.
“Kami sangat teruja untuk membawa versi AT35 ke padaran UK. Model ini sudahpun berjaya di pasaran lain, jadi kami membuat keputusan untuk membangun dan melancarkannya di sini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Arctic Trucks International, Patrik von Sydow.
Ubah suai trak pikap itu diluluskan sepenuhnya oleh Toyota. Jadi ia hadir bersama jaminan selama lima tahun dan perbatuan sejauh 160,000km seperti model Hilux biasa.
Toyota dan Arctic Trucks mencatat pengiktirafan yang meluas menerusi ekspedisi Top Gear ke Kutub Utara. Kedua-dua buah syarikat itu juga telah mencatat pelbagai rekod di Artik dan Antartika.