TOYOTA 4RUNNER TRD SURF CONCEPT, BAWA GAYA IKONIK!
Melihat kereta 80-an yang masih berada di atas jalan boleh dibayangkan suasana kreatif dan inovatif pada era tersebut.
Bukan sahaja reka bentuk atau perkakasan malah rekaan grafik turut menarik perhatian.
Di antara ‘artifak’ yang ditinggalkan ialah Toyota Hilux Surf atau Hilux 4Runner dengan bumbung atau kanopi belakang boleh ditanggalkan dan penumpang belakang duduk secara terbuka.
Berpuluh tahun berlalu dan kini kembali melalui 4Runner TRD Surf Concept yang diubah suai di Toyota Motorsports Garage, Amerika Syarikat.
Ketua pengubahsuai dan Pengarah Operasi Pusat Teknikal Permotoran Toyota, Marty Schwerter mengambil ilham dari pengalamannya sendiri memandu di Jalan Pesisir Pasifik (Pacific Coast Highway) menggunakan pikap Toyota.
4Runner TRD Limited 2025 dipilih sebagai kereta projek dan reka bentuk 4Runner generasi keenam memang mengingatkan kepada generasi pertama.
Enjin iForce 2.4 liter turbo menghasilkan 278 kuasa kuda (hp) dan 430Nm dan dipadan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan.
Kuasa diagihkan ke jalan melalui sistem pacuan empat roda sepenuh masa dengan kotak pindahan julat berkembar (dual-range) kawalan elektronik.
Ekzos buatan khas disambung pada blok enjin untuk bunyi yang lebih mengasyikkan. Transformasi 4Runner kepada pikap dua pintu dan bumbung boleh tanggal bukan mudah.
Tanpa pintu di belakang bermakna penumpang perlu masuk dari pintu depan atau naik sahaja dari luar. Ubah suai yang dibuat seperti menambah dua inci lebar pada kedua-dua sisi.
Untuk bumbung, para pengubahsuai mencubanya dulu pada 4Runner generasi kelima. Bumbung boleh tanggal dibuat sendiri dan menggunakan kaedah fabrikasi tradisional dan cetakan tiga dimensi (3D).
Walaupun model konsep, bumbung direka supaya mudah dialihkan oleh seorang individu sahaja.
Lengan A bawah dan atas dibuat daripada bilet aluminium dan direka untuk menghadapi permukaan paling mencabar sambil menawarkan pemanduan yang lancar.
Pakej ampaian turut merangkumi naik taraf pada stereng, gandar depan buatan khas dan perumah belakang (rear-end) yang diambil daripada Tundra.
Perhatian turut diberi pada bahagian dalam dengan menggunakan lantai kalis air. Aksesori juga tidak ketinggalan dengan papan luncur yang dibuat khas.
Projek ini juga menonjolkan kerjasama di antara jabatan dalaman Toyota.
Jabatan yang terlibat seperti TRD Carolina Utara, Kejuruteraan Pengeluaran TMNA, Perkakasan Servis dan Pembangunan Aksesori (SPAD), Associated Accessory Products (AAP) dan Pemasaran Penglibatan dan Permotoran.