
TOYOTA LAND CRUISER PRADO 2024 TAMPIL LEBIH GARANG, MODEN – JANA 325HP, ANGGARAN HARGA SEKITAR RM300K
Setelah 14 tahun, Toyota Land Cruiser Prado akhirnya menerima kemas kini baharu termasuk dibina di atas platform TNGA GA-F dan bakal tersedia di pasaran global dalam waktu terdekat.
Toyota Land Cruiser Prado baharu tampil rekaan lebih lasak, banyak menggunakan garisan persegi untuk menjadikannya lebih tegap serta bersesuaian dengan off-road. Secara keseluruhan, tidak berlebihan beranggapan model ini bernuansa retro.
Toyota Land Cruiser Prado baharu adalah sepanjang 4,925mm, 1,980mm (lebar), 1,870mm (tinggi) dan jarak roda 2,850mm.

Tambahan, ia mempunyai jarak lega bumi 220mm, sudut pendekatan 31 darjah, sudut pelepasan 22 darjah manakala sudut breakover diletakkan 25 darjah.
Model ini dipadankan bersama lampu hadapan LED berbentuk segi empat sama, pelindung tangki air berwarna hitam bersaiz besar sementara bahagian belakang pula tampil mewah dan liar.
Di bahagian dalam, sudah tentu ia lebih menarik berbanding generasi sebelumnya. Antara kelengkapan di dalam kabin termasuklah skrin sentuh 8-inci untuk varian standard manakala dua varian teratas menerima skrin sentuh 12.3-inci.

Dari tempat duduk pemandu, Toyota memastikan butang kawalan mudah diakses selain terdapat butang dan dail fizikal khusus untuk sistem iklim tiga zon, mod pemanduan serta sistem pacuan empat roda.
Selain itu, Toyota Land Cruiser Prado baharu juga mempunyai suite Toyota Safety Sense dengan ciri dipertingkatkan seperti Kawalan Jelajah Adaptif, Pengekalan Lorong Tengah, Brek Kecemasan Automatik, Pengelakan Keluar Lorong dan Sistem Pemantauan Titik Buta.
Beralih kepada kuasa, Toyota bagaimanapun akan menawarkan nadi berbeza untuk beberapa pasaran.
Di Amerika dan China, Toyota Land Cruiser prado baharu dijana oleh nadi hibrid 2.4 liter T24A-FTS berkuasa 325hp, 630Nm dan dipadankan bersama transmisi automatik Direct-Shift lapan kelajuan.
Bagi pasaran Timur Tengah dan Eropah Timur, Toyota bakal menawarkan enjin nadi T24A-FTS bukan hibrid berkuasa 277hp dan tork 430Nm.
Di Jepun, ia menerima enjin asas 2.7 liter 2TR-FE, menghasilkan 160hp, tork 246Nm dan dipadankan dengan transmisi Super-ECT.
Untuk pasaran Australia, model baharu ini akan dijana oleh nadi Hilux 2.8 liter turbo diesel 1GD-FTV, menghamburkan kuasa 201hp, tork 500Nm dan digandingkan bersama sistem hibrid ringan 48V serta transmisi Direct-Shift 8AT.
Toyota bagaimanapun masih belum mendedahkan harga namun Land Cruiser Prado baharu dijangka boleh dimiliki pada harga bermula £50,000 (RM290,149) di Eropah.
GALERI:







- BACA: TOYOTA LAND CRUISER LC300 BERSAIZ BAYI MUNCUL DI CHINA – SABAR LA NAK
- BACA: NISSAN GT-R, TOYOTA LAND CRUISER DAN MERCEDES-BENZ DILARIKAN DARI BENGKEL. KERUGIAN HAMPIR RM1 JUTA
- BACA: TOYOTA LAND CRUISER ADALAH YANG TERBAIK – TAPI ABANG TETAP SETIA DENGAN ALZA
- BACA: TOYOTA LAND CRUISER PRADO MATTE BLACK EDITION BAHARU DILANCARKAN DI JEPUN


