TOYOTA LAND CRUISER 70 SERIES DIPERTINGKAT DAN KEMBALI KE JEPUN! ENJIN 2.8L 1GD TURBO DIESEL
Toyota Land Cruiser 70 Series adalah bukti sesebuah model boleh terus berada di pasaran walaupun berusia puluhan tahun.
Land Cruiser 70 Series dikeluarkan sejak 1984 lagi dan dibuat perubahan pada 1999, 2007, 2009, 2012, 2014, 2015, 2022 dan terbaru diperkenalkan dengan enjin 2.8 liter 1GD-FTV turbo diesel.
Enjin itu dipadan dengan transmisi automatik enam kelajuan (6 Super ECT) dan bakal tiba di Australia pada suku keempat 2023. Land Cruiser 70 Series juga akan kembali di tawarkan di Jepun.
Selain rangkaian kuasa baharu, Land Cruiser 70 Series tampil dengan gayaan baharu, naik taraf teknologi keselamatan dan sistem multimedia.
Baru diperkenal Toyota belum mendedahkan butiran terperinci dan model Australia sedikit sebanyak boleh dijadikan rujukan.
Di Australia, enjin 2.8 liter 1GD-FTV ditawarkan bersama enjin 4.5 liter V8 1VD-FTV turbo diesel dan bersama transmisi manual lima kelajuan menghasilkan 202 kuasa kuda (hp) dan 430Nm.
Enjin 2.8 liter 1GD-FTV menghasilkan 201 hp pada 3,400 rpm dan tork puncak 500Nm dari 1,600 hingga 2,800 rpm atau 70Nm lebih tinggi berbanding enjin 4.5 liter V8.
Enjin baharu itu hanya menggunakan transmisi automatik dan ditawarkan mengikut varian serta gaya badan berikut:
- Single cab: Workmate, GX dan GXL
- Double cab: Workmate dan GXL
- Gaya badan: Single cab, Double cab, Troop Carrier dan Wagon
Land Cruiser 70 Series pasaran Jepun juga menggunakan rangkaian kuasa sama.
Enjin 4.5 liter V8 dengan transmisi manual dan automatik turut ditawarkan pada semua gaya badan serta varian 2.8 liter kecuali 76 Series WorkMate.
Dari segi rekaan, LandCruiser 70 Series masih lagi sama dengan bahagian depan diberi sentuhan baharu yang mengingatkan kepada LandCruiser 40 Series.
Rekaan dalaman pula diubah dengan gugusan meter dan konsol tengah direka semula untuk ergonomik, visual dan praktikaliti yang lebih baik.
Bahagian meter mempunyai paparan pelbagai maklumat (MID) 4.2 inci dan Toyota memasang skrin sentuh 6.7 inci pada kesemua varian dan sambungan berkabel untuk Apple CarPlay dan Android Auto.
Pakej keselamatan canggih dengan peringatan penukaran lorong, bantuan isyarat jalan raya (kelajuan sahaja) dan lampu alur tinggi automatik dan sebahagian daripada teknologi Toyota Safety Sense.
Maklumat dan spesifikasi terperinci akan didedahkan kemudian dan naik taraf Land Cruiser 70 Series satu berita baik buat peminat jip lasak dan serba boleh. Lebih gembira jika dibawa ke pasaran tempatan!
BACA: TOYOTA GR COROLLA CIRCUIT EDITION 2024 KEMBALI DITAWARKAN DI AS, CIRI BERBEZA
BACA: TOYOTA PRIUS 24H LE MANS CENTENNIAL GR EDITION, SERLAH SISI AGRESIF KERETA HIBRID
BACA: TOYOTA GR86 SPESIFIKASI LUMBA DARI AUSTRALIA, RM271 RIBU
BACA: SEGALANYA TENTANG TOYOTA YARIS CROSS, SUV HYRBID TERMURAH DI INDONESIA
BACA: INI KOS SERVIS TOYOTA VIOS 2023, BERMULA DARI RM 185 SAHAJA
Toyota Land Cruiser 70 Series 2023 Australia
Toyota Land Cruiser 70 Series 2023 Jepun