Buletin

TOYOTA RAV4 TRD OFF-ROAD – AMBIL INSPIRASI JENTERA RALLY RAV4 RACE TEAM

SHARE

Toyota baru-baru ini memperkenalkan SUV RAV4 TRD Off-Road pada acara Chicago Auto Show 2019. 

Ia merupakan varian terbaharu dalam keluarga RAV4 generasi kelima. Dilengkapi pelbagai ciri khas daripada pihak Toyota Racing Development (TRD), jentera itu menawarkan keupayaan mengharung laluan off-road lebih ekstrem bersama gayaan mantap. 

Dibina di atas varian RAV4 Adventure, jentera itu dikuasakan oleh enjin empat selinder Dynamic Force 2.5 liter berkuasa 203hp yang dipadankan dengan kotak gear automatik Direct Shift lapan kelajuan. 

Pemandu boleh memilih mode pemanduan iaitu Sport, Normal dan Eco. Bagi membolehkan pemilik membawa peralatan riadah, SUV tersebut memiliki keupayaan menunda sehingga 1.5 tan. 

Sistem pacuan semua roda Dynamic Torque Vectoring berfungsi mengagihkan 50 peratus kuasa tork enjin ke roda belakang serta roda kiri dan kanan untuk meningkatkan pengendalian di laluan sukar.

Apabila sistem AWD tidak diperlukan, ciri Rear Driveline Disconnect dapat mengoptimumkan penggunaan bahan api. 

Menggunakan Multi-Terrain Select yang hadir sebagai ciri standard, pemandu boleh memaksimumkan cengkaman dengan mode pemanduan. Misalnya mode Mud & Sand ketika memandu di pantai dan mode Rock & Dirt di laluan berlumpur. 

Penampilan RAV4 TRD Off-Road diserlahkan dengan pemasangan roof-rails, over fender besar, rekaan bampar dan gril yang agresif. Ia juga mempunyai jarak kelegaan tanah mencecah 8.6 inci. 

Diinspirasikan daripada kejataan model Rally RAV4, suspensinya direka untuk menambah baik aspek kawalan dan keselesaan. SUV itu menggunakan rim aloi TRD bersaiz 18 inci yang dibalut oleh tayar Falken Wildpeak A/T Trail. 

Selain diidatangkan dalam warna dua tona kelabu metalik dan bumbung putih, RAV4 TRD Off-Road juga boleh didapati dalam warna hitam, putih dan merah. 

Sama seperti varian lain, model ini dilengkapi ciri keselamatan Toyota Safety Sense 2.0. Ia terdiri daripada sistem pra-pelanggaran dengan pengesanan pejalan kaki, kawalan jelajah radar dinamik julat kelajuan, Automatic High Beam, Lane Tracing Assist (KTA) dan Road Sign Assist. 

Sistem Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Rear Cross Traffic Braking juga hadir sebagai ciri standard.

Tags
Google ads
Back to top button