Buletin

TOYOTA SUPRA “ORIGINAL” INI UNTUK DIJUAL PADA HARGA …. RM 536,000!

Toyota Supra adalah antara bukti kehebatan teknologi Jepun membina kereta supercar murah pada era 90-an. Ia adalah kereta yang membarisi varian JDM ketika itu seperti Skyline, RX7, NSX, MR2, Silvia dan Fairlady antara lain.

Walaupun lebih cenderung dikenali sebagai model domestik Jepun, Supra sebenarnya antara kereta yang pernah dieksport Toyota khusus untukpemanduan sebelah kiri. Jika model-model asli JDM kini diimport dengan drastik selepas berumur 25 tahun atas status klasik, model-model asli USDM pula menerima penangan yang berbeza. Harganya melonjak naik sejak sedekad yang lalu.

BACA: LELAKI INI IMPORT TIGA BUAH NISSAN SKYLINE R34

Buktinya, Toyota Supra keluaran 1998 ini yang disenaraikan untuk jualan pada harga luar biasa. Pada USD125,000 atau RM536,000, ia bukan sebarang kereta dan penjualnya mendakwa harga sebegitu adalah nilai pasaran bagi sebuah Toyota Supra yang asli. Maksudnya 100 peratus asli tanpa sebarang pembaikan dan pengubahsuaian.

Dari sudut luarannya juga kita dapat lihat malah rodanya juga adalah yang asli keluaran sama. Kereta ini mencatat batuan 14,215 batu atau 22,800 km sahaja sejak didaftarkan pada 1998. Melihat pada bahagian kokpit juga membuktikan bahawa kereta ini memang terjaga. bahagian plastik, vinyl, kerusi dan panel pintunya masih dalam keadan yang sangat baik. Malah pemain cakera padat dan kasetnya masih berada di situ sejak meninggalkan kilang.

Menjadikannya lebih rare ialah ini versi transmisi manual yang jarang sekali ditemui. Enjin 2JZ-GTE yang kelihatan kemas itu juga bersih berkilat dan jauh lebih bersih dari enjin Alza Abang Japar yang baru berusia dua tahun. Jika ada pembeli yang cari sebuah Supra yang “dara” maka ini adalah calonnya. Di Jepun juga payah untuk bertemu dengan Supra dengan kondisi seperti ini.

Melihat pada senario tempatan, kami percaya, harga kereta-kereta ikonik begini akan terus kekal dan meningkat dari tahun ke tahun. Bayangkan untuk nilai pasaran hari ini, harga kereta-kereta ini di Jepun sendiri pun sudah tidak terjangkau oleh nilai Ringgit. Di Jepun sendiri, kereta-kereta ini sudah mencapai nilai eksotik dan mahal untuk dimiliki.

Tak mustahil, masanya akan tiba bila pengimport dari negara dengan nilai matawang yang tinggi (seperti Amerika dan Kanada) akan mengalihkan perhatian mereka dari Jepun. Sasaran kereta-kereta JDM di Malaysia, Thailand, Brunei, dan Australia.

GALERI

Google ads
Back to top button