Modifikasi

DAIHATSU DETOMASO-YA, ORIGINAL DAN INI MEMANG RARE!

Jangan terkeju! Sebab apa yang kau tengok ni sememangnya benar. Ya. Sebuah Daihatsu Charade yang tidak memiliki sepasang pintu di bahagian belakang. Bukan sengaja ditutup atau ditampal, tapi inilah saki baki model sebenar Charade GTi Detomaso yang pernah tersesat di sini.

Saya sendiri kurang arif tentang kewujudannya, sehingga diperkenalkan dalam satu pertemuan di Terengganu beberapa bulan yang lalu. Sebelum kita tinjau lebih jauh, apa kata kita selidik dulu bagaimana San Ali selaku pemilik, boleh bertemu jodoh dengan model yang sangat rare ini.

BACA: LAGENDA ESPRI DETOMASO

Kisahnya bermula apabila seorang kawan ni, berhajat nak beli Charade Espri G200 sebagai kereta “mainannya”. Cari punya cari, terjumpalah sebijik nun jauh di Labuan.

Memandangkan kondisi yang dilihat dalam gambar nampak cantik, diusahakan juga menyeberang Laut China Selatan untuk melawat.

Sampai di sana, alangkah terkejutnya apabila menyedari ia sebuah model 2-pintu yang asli. Masa dalam gambar tak jelas sangat. Selepas diperiksa dan disahkan statusnya, ia segera dibawa pulang ke bumi Terengganu dengan senang hati.

Ketibaan kereta ini mendapat perhatian peminat superkompak seantero Malaysia. Sampai gila kejap dibuatnya. Ramai yang cuba merisik, termasuk San Ali sendiri.

Lepas makan tahun kena pujuk, ia akhirnya dijual pada harga sekali ganda. Tak kisahlah, benda hampir mustahil nak jumpa. Kalau kena gayanya, ia mungkin boleh jadi pelaburan yang bijak.

Di tangan San Ali, kereta ini dijaga bagai menatang minyak yang penuh. Hampir setiap inci badannya telah diteliti semula. Untuk luaran, ia kekal dengan kit badan Detomaso yang kita kenali. Satu-satunya perubahan yang dibuat adalah, penempatan unit sunroof di bahagian bumbungnya.

Kedudukan kereta direndahkan dengan set suspensi boleh laras dari GAB. Sistem hentian bagaimanapun kekal standard memandangkan ia sudah dilengkapi brek jenis cakera untuk depan dan belakang.

Di bahagian roda pulak tersemat set rim 16-inci Advan RG, yang dipadankan bersama tayar Falken Ziex berukuran 205/45R-16 setiap satu.

Satu lagi perkara menarik yang terdapat pada kereta ini ialah, persembahan ruang enjinnya cukup kemas dan menarik. Didatangkan dengan enjin HD-E berkapasiti 1.6-liter, ia dicantikkan semula menerusi kerja-kerja kemasan yang sangat teliti.

Macam hidup pakai wifi pulak, sampai satu wayar pun jumpa. Kalau ada masalah, hanya pomen asal jer tahu mana nak cari puncanya.

Memandangkan enjin ini makin kepupusan, San bertindak bijak untuk tidak melakukan sebarang modifikasi. Biarlah standard pekak, janji merecik. Buat masa ini, ia hanya diberi unit regulator Sard, kabel pencucuh Ultra dan radiator aluminium D&D, sebagai komponen tingkat prestasi.

Sudut dalaman juga berkeadaan standard. Apa yang kelihatan merupakan komponen yang sering diburu peminat Charade lain. Yang tiada cuma unit stereng asal yang digantikan dengan stereng Momo Daihatsu. Sementara ruang belakang pulak sengaja dikosongkan acah-acah racing.

Kadangkala faktor bukan murah-mahal yang menjadi ukuran, tapi juga rarity yang melayakkan ia bergelar selebriti. Contohnya kereta ini. Modifikasi yang dilakukan mungkin tak banyak mana. Tapi masih disegani kerana statusnya yang tersendiri.

GALERI

 

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button