" "
Buletin

KIA STONIC – SAUDARA KEMBAR HYUNDAI KONA BAKAL DILANCARKAN TAHUN INI

Baru-baru ini Hyundai lancarkan model Kona dan disambut positif oleh netizen. SUV kompak itu berada dalam segmen sama seperti Honda HR-V, Mazda CX-3 dan juga Toyota C-HR. Sudah jadi kebiasaan, selepas Hyundai melancarkan sesuatu model ia akan disusuli oleh Kia pula. Memandangkan Hyundai dan Kia berada dalam satu kumpulan maka teknologi dan platform pakat-pakat boleh guna.

Tidak lama lagi, Kia Stonic yang merupakan kembar tidak seiras Hyundai Kona bakal dipasarkan pada suku ketiga tahun ini.

Dalam masa pengeluar kereta mengeluarkan SUV kompak dalam bentuk funky seperti Nissan Juke, Honda HR-V, Toyota C-HR mahupun Hyundai Kona sendiri, lain pula dengan Kia Stonic ini.

Ia tampil dengan rekabentuk matang dan bergaris, lebih menarik tidak ada bayangan seperti sebuah lagi SUV Kia iaitu Sportage yang sudah nampak ibarat Porsche Macan.

Pasaran SUV segmen B sememangnya besar di Eropah iaitu berjumlah 1.1 juta setahun atau kira-kira tujuh peratus daripada keseluruhan pasaran. Dijangka segmen itu bakal berkembang hingga lebih dari dua juta setahun menjelang 2020.

Dari depan, Kona memang tidak syak lagi dihasilkan Kia melalui beberapa elemen signatur seperti gril hidung harimau. Gayaan badannya adalah kombinasi di antara garis horizontal dengan permukaan beralun lembut.  Ia direka di studio Kia di Eropah dengan kolaborasi bersama Kia Korea.

Walaupun dengan gayaan selamat namun Kia tetap bermain dengan bentuk bumbung ala ‘targa’ seterusnya tampil melalui dua tona warna. Ia diinspirasikan oleh Kia Provo concept yang dipertontonkan pada 2013. Menariknya juga, Kia menawarkan lima pilihan warna untuk bumbung kepada pembeli supaya tampil unik.

Untuk nadi kuasa pula, Kia Stonic diberi beberapa pilihan enjin pelbagai sesaran serta jenis. Pembeli boleh memesan Stonic dengan opsyen enjin 1.0 liter T-GDI berkuasa 120 PS atau 1.25 dan 1.4 aspirasi normal. Turut ditawarkan ialah enjin 1.6 diesel dengan tahap emisi paling rendah di antara barisan enjin yang ditawarkan.

Manakala teknologi keselamatan pula didatangkan standard dengan ESC dan Vehicle Stability Management (VSM) agar SUV pacuan dua roda ini stabil dan seronok dipandu dalam apa jua keadaan. Pakej VSM yang dibekalkan terdiri daripada beberapa teknologi seperti Torque Vectoring by Braking, Straight Line Stability, dan Cornering Brake Control.

Selain itu, Stonic turut dilengkapi pelbagai teknologi canggih atau DRiVE WISE Advanced Driver Assistance System (ADAS). Ia terdiri daripada Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan pengecaman pejalan kaki dan Amaran Pelanggaran Depan, Pengesan Titik Buta dengan Amaran Objek Belakang dan Sistem Amaran Penukaran Laluan. Ia juga dilengkapi dengan High Beam Assist dan Amaran Perhatian Pemandu untuk terus mengawasi karakter pemanduan.

Di Eropah, Stonic diberi waranti selama tujuh tahun atau 160,934.4 km (100,000) dan ia bakal dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

Google ads
Back to top button