" "
Motosikal

TERBARU: SYM ADXTG 400 SAH MASUK MALAYSIA Q2 2025 – BAWAH RM31K

Baru-baru ini kami telah pun melaporkan bahawa skuter maxi adventure SYM ADXTG 400 akan memasuki pasaran Malaysia tahun ini dengan harga anggaran bawah RM35 ribu. 

Bagaimanapun maklumat terbaru yang kami perolehi baru-baru ini memaklumkan bahawa ADXTG 400 akan dilancarkan di Malaysia pada suku kedua (Q2) tahun ini. Lebih menarik, sumber memberitahu bahawa skuter ADV tersebut akan dijual pada harga bawah RM31k berbanding RM35k yang dimaklumkan sebelum ini. 

Ini bermakna, pengedar rasmi SYM, MForce Bike Holdings berjaya memastikan harga yang jauh lebih rendah ditawarkan untuk pasaran di Malaysia. 

Menurut SYM, ADXTG 400 diinspirasikan dari haiwan zaman prasejarah ‘smilodon’ yang merupakan sejenis harimau ‘sabretooth’. Disebabkan itu, ADXTG 400 hadir dengan reka bentuk yang agresif dan panel badan yang bersegi. 

Terlindung disebalik panel badan dan kerangka adalah enjin satu silinder 399cc yang berupaya menghasilkan 35hp dan 37Nm. Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menggunakan rantai berbanding tali sawat (belt). 

Satu lagi ciri menarik yang menjadikan ADX TG 400 ini unik termasuklah satu-satunya skuter yang mengguna pakai swingarm jenis ‘aluminium’ dengan Sanyang Multilink Suspension. Tak cukup dengan itu, SYM turut memasang ‘handlebar’ boleh laras yang boleh diselaraskan mengikut kesesuaian penunggang. 

Pelindung tangan dan penghadang angin tinggi turut disertakan secara standard disamping slot pengecas USB. 

Untuk rekod, ADXTG 400 merupakan motosikal pertama SYM yang hadir dengan mod ‘off-road’ yang ditawarkann sistem ABS. Seperti kebiasaan, mod ‘off-road’ ini hanya akan mengaktifkan ABS di tayar depan. Brek mengejut juga akan mengaktifkan lampu brek kecemasan (EBL). 

Berdasarkan kelengkapan dan komponen ditawarkan pastinya menarik untuk menanti pelancaran skuter maxis gaya ADV ini di Malaysia nanti. 

Google ads
Back to top button