Trak Isuzu Terus Jadi Pilihan Rakyat Malaysia
Untuk tiga tahun berturut-turut, trak-trak Isuzu nyata begitu terkenal apabila menjadi trak muatan ringan paling laris di Malaysia.
Trak Isuzu N-Series berkongsi penghormatan ini pada tahun 2010 dan 2011 menerusi produk yang dijenamakan sebagai Hicom. Trak tersebut dibina atas standard kualiti Jepun dan dihasilkan di kilang Isuzu-Hicom Malaysia di Pekan, Pahang. Pada tahun 2012, trak-trak itu terus menjadi pilihan sebagai kenderaan untuk tujuan perniagaan dengan jualan keseluruhan mencecah 5,473 unit.
Dengan reputasi penggunaan bahan api menjimatkan dan prestasi yang dipercayai, rangkaian trak Isuzu N-Series telah menjadi pilihan pengendali perniagaan di seluruh negara. Malah di seluruh dunia kerana ia mampu menjadi rakan perniagaan yang sempurna.
Menghargai pencapaian signifikan yang diperoleh para pengedar tempatan Isuzu Malaysia, Timbalan Presiden Eksekutif dan Pengarah Isuzu Motors Limited Japan, Ryozo Tsukioka telah mengadakan lawatan sebagai tanda ucapan tahniah dan menghadiahkan Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kimitoshi Kurokawa sebuah patung Daruma bagi pihak pengurusan Isuzu Jepun.
“Kami benar-benar bangga dengan pencapaian dan usaha yang dilakukan oleh pasukan Isuzu Malaysia dan rangkaian pengedarnya. Mereka telah membina asas yang kukuh untuk trak-trak Isuzu terus berkembang dalam keadaan yang sangat terancang dan berterusan. Asas ini amat ideal untuk pelan pengembangan pada masa akan datang,” kata Tsukioka.
Isuzu N-Series dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada penghujung tahun 2012. Ia memiliki reputasi sebagai sebuah trak yang menjimatkan bahan api dan prestasi yang sangat boleh dipercayai dalam kalangan para pengguna. Sejak pengenalannya pada 1959, Isuzu N-Series telah dijual lebih lima juta unit di seluruh dunia. Di pasaran Jepun, Elf (nama yang digunakan di sana) merupakan trak paling laris untuk 12 tahun berturut-turut.
Lebih signifikan lagi, Isuzu juga merupakan jenama trak paling laris di Jepun pada tahun 2012 untuk segmen trak muatan ringan, sederhana dan bas.
“Saya percaya bahawa kejayaan Isuzu N-Series di Malaysia adalah kerana karekteristik trak dan nilai cemerlang yang diberikannya kepada para pelanggan kami. Kami juga benar-benar fokus dan berusaha ke arah membina rangkaian pengedar. Di samping memastikan kebolehsediaan alat ganti yang tepat pada masanya. Faktor-faktor tambahan ini memberikan pelanggan Isuzu pengalaman pemilikan yang sewajarnya,” kata Kurokawa.
[hr]