
PROTOTAIP TRIUMPH SCRAMBLER 400 XE, SPEED 400 RR DIKESAN JALANI UJIAN
Triumph Motorcycles bakal meneruskan kesinambungan model 400cc sedia ada dengan memperkenalkan dua lagi varian baharu.
Berdasarkan laporan media antarabangsa, Triumph dikesan sedang giat menjalankan ujian terhadap dua model baharu yang dinamakan Scrambler 400 XE dan Speed 400 RR.

Berdasarkan imej ‘spyshot’ yang dikongsikan, kedua-dua model ini jelas berbeza dengan Scrambler 400 X dan Speed 400 yang ditawarkan di pasaran global ketika ini.
Prototaip Scrambler 400 XE menampilkan beberapa komponen dan ciri yang telah dinaik taraf dari Scrambler 400 X sedia ada. Antara yang kelihatan adalah pelindung enjin, fender depan yang lebih tinggi serta kehadiran penghadang angin.
Namun, perbezaan paling ketara adalah penggunaan rim jenis lidi (spoke) tubeless yang menggantikan rim aloi pada Scrambler 400 X.

Dalam pada itu, Speed 400 RR datang dengan panel depan yang lebih menyeluruh yang diilhamkan dari Speed Triple 1200 RR. Tinjauan lebih terperinci mendapati Triumph turut mereka semula bahagian tangki, tempat duduk, panel sisi dan fender belakang berserta lampu.

Tempat letak kaki (footpeg) juga diposisikan lebih kebelakang berbanding Speed 400. Kedudukan handlebar juga kelihatan lebih rendah sekaligus mewujudkan geometri yang lebih agresif.
Memandangkan kedua-dua prototaip ini jelas kelihatan seperti hampir siap, kami jangkakan Triumph akan melancarkan kedua-duanya lewat tahun ini sebagai model 2026.






