
UMW TOYOTA AKAN LANCAR 5 MODEL SPORT PADA 17 FEBRUARI, TAYANG GAMBAR ACAH 5 MODEL SPORT
Melalui satu laman sesawang mini khas yang dilancarkan oleh UMW Toyota pada hari ini, terdapat 5 model sport yang akan dilancarkan oleh Toyota pada 17 Februari nanti. Di bawah moto “Awaken the beasts” model sport ini akan dilancarkan di bawah sub jenama Gazoo Racing
Berdasarkan pada rekaan dan bayang-bayang yang terhasil daripada iklan, besar kemungkinan model yang dilancarkan nanti merangkumi Toyota GR Supra A90, Toyota GR 86, dan juga Toyota GR Corolla. Jika anda ingat, model Toyota GR Supra telah dilancarkan di Malaysia pada tahun 2019 tapi hanya ditawarkan dalam varian automatik sahaja.
Besar kemungkinan Toyota GR Supra varian manual akan dilancarkan pada 17 Februari nanti. Model kedua yang akan dilancarkan ialah Toyota GR86 generasi kedua yang telah dilancarkan di peringkat global pada tahun 2021. Dengan enjin 2400cc Boxer, ia menjana 232 kuasa kuda dan 250Nm dengan semua kuasa disalur ke tayar belakang menerusi gear manual 6 kelajuan
Bagi model pacuan semua roda, tugas ini akan digalas oleh Toyota GR Corolla dengan enjin 3 silinder G16E-GTS 1600cc yang menjana 300 kuasa kuda dan 370Nm tork. Semua kuasa akan disalurkan pada sistem pacuan semua roda GR-Four dengan transmisi manual 6 kelajuan.
Terdapat 2 lagi model biasa yang dinaiktaraf dan akan dijual bersama barisan model Gazoo Racing iaitu Toyota Corolla Cross GR Sport dan juga Toyota Hilux GR Sport. Jika anda perasan, perkataan GR ini diletakkan di belakang nama model dan bukannya di depan seperti GR Supra, GR Corolla, GR Yaris dan GR86.
Jadi besar kemungkinan Corolla Cross GR Sport dan Hilux GR Sport akan diberi kemasan kosmetik Gazoo Racing tanpa sebarang perubahan pada kuasa enjin melainkan terdapat sedikit perubahan pada talaan gear CVT.


