Artikel PilihanBuletin

UNIVERSITI DIBENAR GUNA NOMBOR PLAT SENDIRI

Penggunaan nombor pendaftaran istimewa bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia. Sejak beberapa tahun yang lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan telah menjalinkan kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan dalam mengendalikan pendaftaran nombor istimewa yang tidak tertakluk dalam sistem biasa dalam JPJ.

Maka wujudlah nombor seperti A1M, E, Y, GG, YY, US, U dan bermacam-macam lagi.

Terbaru, Universiti awam dikatakan bercadang untuk mempunyai nombor pendaftaran sendiri bagi membolehkan mereka mendapat dana.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memberitahu bahawa kerajaan membuat keputusan untuk memberi kelonggaran kepada universiti awam (UA) mempunyai nombor pendaftaran khas kenderaan. Beliau memberitahu dana menerusi penjualan nombor plat khas itu boleh digunakan untuk penyelidikan dan pembangunan setiap universiti.

“Saya ada berbincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kira-kira dua bulan lalu dan membuat keputusan dasar untuk memberi kelonggaran kepada UA untuk memiliki nombor plat khas kenderaan.

“Ada banyak permintaan daripada pihak universiti dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik juga ada minta dan beri surat untuk tujuan ini.

“Kelonggaran ini sebagai sokongan kepada universiti sebagai institusi pendidikan tinggi awam untuk mendapatkan dana bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan generasi muda,” katanya pada sesi Dialog Universiti – Industri sempena lawatan Menteri Pengangkutan ke Universiti Malaysia Terengganu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UMT, Datuk Prof Dr Nor Aieni Mokhtar.

Loke selepas mengambil alih jawatan Menteri Pengangkutan sebelum ini menyatakan nombor pendaftaran khas kenderaan tidak lagi diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian.

Dasar baharu itu menetapkan semua nombor pendaftaran khas akan dikeluarkan JPJ dan kerajaan saja.

Loke berkata, kerajaan juga bersetuju memberi ‘harga istimewa’ yang mana sebelum ini sebarang permohonan nombor plat khas perlu membayar RM1 juta dan kini diturunkan kepada RM500,000.

Katanya, kelonggaran diberikan selama tiga tahun untuk pihak universiti menjalankan penjualan nombor plat khas itu sama ada secara tender atau bidaan.

“Penjualan satu siri boleh menjana sehingga RM10 juta dan tahun lalu kita melancarkan siri khas Malaysia, membolehkan kerajaan menjana RM13 juta daripada penjualannya.

“Jika universiti mempunyai sokongan alumni, mereka boleh diminta menyumbang pembayaran permohonan dan akan didaftarkan di bawah Naib Canselor, manakala dana (penjualan) akan diuruskan universiti,” katanya.

KREDIT: BERITA HARIAN

Tags
Google ads
Back to top button