Motosikal

MESTI PAKAI TOPI KELEDAR, WALAUPUN BAWA MOTOR DI KAWASAN KAMPUNG – JPJ TERENGGANU

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengingatkan penunggang motosikal supaya sentiasa memakai topi keledar dan tidak mengabaikan keselamatan diri, walaupun ketika menunggang motosikal di kawasan kampung.

Terengganu mencatatkan peningkatan ketara kes melibatkan kesalahan tidak memakai topi keledar dalam tempoh dua bulan tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pada Januari 2020, 56 kes tidak memakai topi keledar telah dicatatkan. Jumlah itu meningkat kepada 301 kes pada Februari. Manakala bagi tempoh sama 2019, 52 kes dicatatkan pada Januari dan meningkat kepada 108 kes sepanjang Februari.

Kebanyakan kes yang direkodkan berlaku di kawasan kampung. Rata-rata penunggang yang ditahan menggunakan alasan hanya menunggang di kawasan kampung, sebab itu mereka rasa tidak perlu pakai topi keledar.

“Tetapi mereka harus ingat aspek keselamatan diri dan undang-undang tidak boleh dipandang remeh,” kata Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin.

Zulkarnain turut memberitahu bahawa sebanyak 114 notis saman melibatkan pelbagai kesalahan telah dikeluarkan dalam Ops Khas Motosikal Negeri Terengganu. Operasi itu dijalankan pada 9 hingga 14 Feb lalu di sepanjang jalan pesisir pantai di Kuala Nerus. – BERNAMA

Google ads
Back to top button