
UJIAN MEMANDU E-TESTING. CALON HANYA TERIMA ARAHAN PEGAWAI JPJ DARI JAUH
Mulai Jun depan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan sistem latihan dan ujian memandu automatik (e-testing) di institut memandu di seluruh negara.
Pengenalan sistem itu membolehkan prestasi calon ujian dilakukan secara elektronik dan keputusan akan dijana oleh komputer. Jadi, sistem itu tidak memerlukan pegawai JPJ untuk berada di sebelah pemandu sepanjang tempoh ujian dijalankan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid memberitahu sebaliknya, pegawai JPJ akan berada di dalam bilik kawalan untuk memantau dan memberi arahan kepada calon.
Langkah itu dilihat bukan sahaja memudahkan calon, malah tiada urusan di antara calon dan pegawai JPJ di dalam kenderaan, sekali gus dapat meningkatkan integriti jabatan berkenaan.
Tiga buah institut memandu di Johor telah dipilih sebagai projek perintis pelaksaan sistem tersebut, sebelum diperluaskan ke seluruh negara. – Astro Awani