Buletin

VARIAN TYPE-R LAIN BAKAL MENYUSUL – KETUA JURUTERA HONDA CIVIC  

Selepas dua dekad dan empat generasi, jentera berprestasi tinggi Honda Civic Type-R kini melebarkan pasarannya ke lebih banyak negara termasuklah Amerika Syarikat (AS). 

Apabila melihat brosurnya, para peminat Type-R akan membandingkan aspek kuasa enjin, transmisi dan talaan pacuan roda belakang yang dilihat tidak jauh berbeza dengan model sebelumnya.

Justeru, dalam usaha memenuhi keperluan kelompok pelanggan yang semakin luas dan meningkatkan jumlah jualannya, Honda dijangka menawarkan lebih banyak varian Civic Type-R.

Perkembangan positif itu dilihat seakan-akan mengikut pendekatan yang diambil oleh Porsche dan Chevrolet. Kedua-dua pengeluar itu nyata rancak dalam menawarkan edisi khas daripada satu model untuk menaikkan jualan.

“Kami harap dengan menambah lebih banyak varian, volum jualan yang stabil dapat dikekalkan,” kata Ketua Jurutera Honda Civic, Hideki Matsumoto kepada laman web Automotive News. 

Antara varian yang sedang dipertimbangkan ialah versi hardcore dengan kuasa lebih tinggi. Tidak ketinggalan versi yang kurang berkuasa dan fokus kepada aspek pemanduan grand touring yang pastinya dapat melebarkan kelompok pelanggan sasaran. Versi murah itu dijadual diperkenalkan di AS pada tahun depan.

Apa yang lebih menarik ialah kemungkinan munculnya varian dengan pacuan semua roda (AWD). Varian itu dilihat penting kerana kebanyakan pesaing langsung Type-R memang hadir dengan pacuan AWD sebagai ciri standard. Sebagai contoh Volkswagen Golf R, Subaru WRX, WRX STI dan Ford Focus RS.

BACA: HONDA MALAYSIA AKAN LANCAR CIVIC TYPE-R TAHUN INI? 

“Memandangkan ini merupakan Type-R pertama yang ditawarkan ke pasaran AS, Honda mahu memperkenalkannya dalam spesifikasi asal iaitu pacuan roda hadapan (FWD), ringan, transmisi manual enam kelajuan dan harga mampu milik  AS$34,775 (RM148,800) seunit,” jelas Matsumoto.

Bagaimanapun, tidak ada sebarang kata putus mengenai gayaan badan Type-R lain, seperti coupe atau sedan yang kini ditawarkan dalam spesifikasi lebih sporty, Civic Si.

Dibina di atas kod nama FK8G3JEW, Civic Type-R dijana oleh enjin turbo bersesaran 2.0 liter. Enjin sama yang digunakan pada Type-R generasi sebelumnya itu mampu menghasilkan kuasa sekitar 306hp dan tork 400Nm.

BACA: HONDA CIVIC TYPE-R LEBIH MURAH UNTUK PELANGGAN DI AMERIKA, TIBA TAHUN DEPAN

Google ads
Back to top button