
VINFAST PERKENAL EMPAT SKUTER ELEKTRIK UNTUK PASARAN AS
Ketika syarikat berlumba-lumba untuk memajukan teknologi EV, beberapa syarikat pemula telah menyertai perlumbaan terutamanya untuk jentera dua roda. Walaupun sesetengahnya jelas mempunyai lebih banyak kejayaan berbanding yang lain, memang bagus untuk melihat idea baharu muncul, walaupun mereka tidak melakukannya dengan betul pada kali pertama.
Pesaing baru yang memasuki segmen EV ialah pengeluar dari Vietnam, VinFast. Meskipun syarikat itu ditubuhkan pada tahun 2017, langkah untuk bekerjasama dengan firma automotif terkenal, Pininfarina adalah tepat untuk mereka bentuk SUV elektrik bersaiz sederhana, VF8. Ia juga telah menandatangani perkongsian global dengan organisasi triatlon jarak jauh, IRONMAN.
Ketua Pegawai Eksekutif VinFast, Le Thi Thu Thuy mengumumkan bahawa VinFast kini merancang untuk menjual skuter elektriknya di AS mulai Julai 2022, tetapi tidak jelas model mana yang dirancang untuk dipasarkan.

Feliz S ialah ahli keluarga skuter VinFast yang paling mahal dan dihasilkan untuk memudahkan perjalanan setiap hari. Suspensi terdiri daripada hidraulik teleskopik di hadapan, dengan spring gegelung dan hidraulik peredam di belakang.
Feliz S dipasang dengan brek cakera di hadapan dan brek jenis dram di belakang. Ia juga mengunakan rim bersaiz 14-inci dan lampu LED. Berat termasuk bateri ialah 110 kilogram yang mampu menampung berast sehingga 130kg. Ia juga mempunyai storan seluas 25 liter yang sentiasa berguna pada skuter.
Skuter itu menampilkan motor elektrik 1,800 watt yang mampu mencapai kelajuan tertinggi 78km/j. Pek bateri ialah unit 3.5kWh yang menawarkan jarak sejauh 198 kilometer dengan caj penuh. Masa pengecasan adalah kira-kira enam jam yang memudahkannya untuk dicas semalaman atau semasa berada di tempat kerja atau sekolah.
Hadir dalam lima warna iaitu putih mutiara, merah, hijau, hitam dan perak, Feliz S ditawarkan pada harga ialah cuma AS$$1,280 (RM5,738.62) seunit termasuk pengecas.

Klara S menampilkan beberapa spesifikasi yang sama seperti Feliz S. Selain perbezaan gaya, Klara S mempunyai brek cakera di hadapan dan belakang. Ia juga menggunakan rim bersaiz 14 inci di hadapan dan 12 inci di belakang. Walaupun muatan tetap ditetapkan pada 130kg, beratnya termasuk bateri ialah 112kg.
Klara S dikuasakan oleh motor elektrik 1,800 watt dengan kelajuan tertinggi 78 km/j. Sekali caj selama enam jam, ia boleh bergerak sejauh 194km.
Klara S hadir dalam lima warna untuk pasaran Vietnam pada 2022 iaitu biru, putih mutiara, merah, hitam dan hijau. Harganya ialah AS$$1,580 (RM7,083).

Suspensi Vento S sama seperti pada Klara S dan Feliz S. Vento S bergerak di atas sepasang rim 12 inci dengan brek cakera dan sistem ABS di hadapan. Kapasiti maksimum ialah 130kg dengan berat motosikal ini ialah 122kg.
Vento S menampilkan motor elektrik 3,000 watt yang lebih berkuasa dipasang pada lengan ayun (swingarm). Ia dipacu oleh sistem transmisi belt-driven, sama seperti kebanyakan skuter pembakaran moden dengan kelajuan tertinggi adalah 89km/j. Bateri 3.5kWh boleh dicas kira-kira selama enam jam, dan boleh bergerak sejauh 160km dengan sekali caj.
Vento S hadir dalam pilihan enam warna untuk pasaran Vietnam pada tahun 2022 iaitu kuning, hitam, oren, merah, hijau dan putih mutiara. Harga pasaran untuk Vento S ialah AS$2,397 (RM10,746).

Theon S menjadi skuter paling sporty dengan brek cakera dan sistem ABS dwi-saluran sebagai ciri standard. Ia menggunakan rim 16 inci yang membuatkan pengendaliannya seperti motosikal biasa.
Ia dikuasakan oleh motor elektrik 3,500 watt dengan pacuan rantai yang membezakannya daripada barisan skuter VinFast yang lain dan daripada banyak skuter moden. Kelajuan tertinggi adalah 99km/j. Bateri 3.5kWh menawarkan jarak sehingga 150 kilometer (93 batu) dengan sekali cas.
Theon S hadir dalam tiga warna sahaja untuk pasaran Vietnam iaitu merah, hitam dan putih dengan harga AS$2,992 (RM13,414).
Keempat-empat skuter itu hadir dengan penarafan kalis air IP67 yang membolehkannya menghadapi cuaca ribut dan hujan tanpa sebarang masalah.