
VOLKSWAGEN MALAYSIA LANCAR GOLF GTI SEPANG EDITION, HARGA BERMULA RM262K
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini secara rasmi melancarkan Golf GTI Sepang Edition, kereta pertama di Malaysia yang hadir dengan lambang rasmi Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Lebih menarik lagi, ia juga merupakan kolaborasi pertama Volkswagen Malaysia dalam penghasilan sebuah model edisi khas.
Sejak sekian lama, SIC telah menjadi lambang tentang kelajuan di Malaysia kerana pernah menjadi pentas perlumbaan Formula 1, kejohanan MotoGP dan sukan permotoran bertaraf antarabangsa.
Model edisi terhad yang dipasang tempatan ini menggabungkan rekaan yang berinspirasikan dunia pemotoran bersama logo eksklusif litar ikonik SIC, pada masa sama mengekalkan DNA prestasi sebuah Golf GTI.

Golf GTI Sepang Edition hadir dengan ciri-ciri menarik seperti Emblem Sepang Edition pada bahagian belakang, logo Sepang Edition dengan kemasan UV Gloss pada tiang-B, rim aloi ringan Richmond bersaiz 18-inci berwarna kelabu matte dengan penutup hab roda dinamik “GTI” serta kemasan sporty pada bahagian sisi untuk gaya yang berinspirasikan sukan bermotor.
Ciri-ciri eksklusif lain termasuklah;
- Perumah cermin sisi berwarna hitam
- Karpet lantai GTI dan penutup injap GTI
- Plat asas Sepang Edition yang eksklusif
- Bumbung, spoiler hadapan, diffuser belakang dan skirting sisi berwarna hitam untuk gaya lebih agresif
- Perakam Trafik Universal 2.0 (depan & belakang) dengan sensor penglihatan malam Sony Starvis untuk keselamatan dan ketepatan
- VW Tint original
- Pemegang kunci dengan sijil ketulenan
Di sebalik semua sentuhan eksklusif itu, Golf GTI Sepang Edition tetap berpegang kepada karekter GTI yang ikonik – lincah, berkuasa dan cukup seronok untuk dipandu.

Dari segi kuasa, model ini dipacu oleh nadi 2.0 liter turbo empat silinder, menghasilkan 245PS dan tork 370Nm.
Nadi berkenaan dipadankan bersama kotak gear klac berkembar automatik (klac basah) tujuh kelajuan, dengan daya pecutan 0-100km/j hanya mengambil masa 6.4 saat.
Untuk harga, Golf GTI Sepang Edition ditawarkan pada harga bermula RM262,990 dan didatangkan dengan penyelenggaraan percuma selama 7 tahun, serta jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan percuma selama 5 tahun – sebagai sebahagian daripada Volkswagen Assurance Package (VAP).
Sempena pelancaran Golf GTI Sepang Edition, VPCM turut memperkenalkan promosi jualan 10.10 yang pertama seumpamanya.
Untuk 10 unit terawal yang didaftarkan, pelanggan akan menikmati 0% kadar faedah pinjaman selama 10 bulan, sekali gus menjadikan pemilikan jentera ini lebih mudah.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web https://www.volkswagen.com.my/ atau tempah unit anda sekarang di mana-mana pengedar sah Volkswagen di seluruh negara.
GALERI:











