Artikel Pilihan

SENARAI 10 KERETA TAK LAYAK TERIMA SUBSIDI PETROL.

Apabila Bugatti Veyron 16.4 berjaya melepasi 1,000 PS buat pertama kali pada tahun 2005, ia menandakan satu pencapaian baru dalam dunia automotif. Beberapa tahun kemudian, angka kuasa empat digit mula menjadi penanda aras bagi membezakan antara kereta yang sekadar laju dengan hypercar

Beberapa tahun kemudian, pelbagai jenis supercar, hypercar, kereta elektrik (EV) malah muscle car seperti Dodge Challenger SRT Demon 170 menjadikan angka 1,000 hp itu sebagai sasaran utama mereka. “Perang kuasa kuda” kini benar-benar memuncak, dan buat pertama kali, muncul satu istilah baharu dalam dunia kereta berprestasi tinggi iaitu “megacar.”

Dengan pelbagai pendekatan untuk memerah kuasa maksimum, jenama seperti Bugatti dan Koenigsegg berjaya mencipta enjin paling kompleks dan berkuasa di dunia. Setiap enjin yang disenaraikan di bawah merupakan keajaiban teknikal tersendiri, dan kita akan menilainya mengikut jumlah kuasa kuda, sambil meneroka teknologi di sebalik kekuatan luar biasa ini termasuklah enjin empat turbo (quad-turbo) dan hibrid plug-in yang canggih.

2021 Koenigsegg Gemera – 2,269 hp

Koenigsegg Gemera HV8 ialah versi paling gila dari hyper-GT empat tempat duduk ini. Menggantikan enjin 3-silinder asal, varian HV8 kini menggunakan enjin 5.0 liter V8 twin-turbo dipadankan dengan motor elektrik “Dark Matter”. Gabungan sistem hibrid plug-in ini menghasilkan kuasa luar biasa, sekitar 2,300 hp dan 2,750 Nm tork.

Walaupun begitu, Gemera masih praktikal dengan sistem AWD, empat tempat duduk sebenar, dan jarak EV sekitar 50 km. Ia bukti bahawa Koenigsegg mampu menggabungkan teknologi hibrid, prestasi ekstrem, dan kejuruteraan pintar dalam satu pakej megacar yang tiada tandingan.

Hennessey Venom F5 1,875 hp

Syarikat Hennessey Specialty Vehicles yang berpusat di Texas yang dahulunya terkenal sebagai penala Dodge Viper melahirkan sebuah jentera buatan tangan yang luar biasa, dikenali sebagai F5 Venom. Dengan enjin V8 6.6 liter dipasang di belakang cesi, manakala versi roadster pula menawarkan pengalaman tanpa bumbung pada badan hypercar yang direka ringan dan sangat aerodinamik.

Hasilnya, F5 Venom mampu memecut 0–100 km/j hanya dalam sekitar 2.5 saat, melalui pacuan roda belakang dan berupaya mencecah 200 km/j dalam kurang 5 saat.

SSC Tuatara 1,750 hp

SSC Tuatara ialah antara hypercar paling jarang ditemui kerana ia dibina sepenuhnya secara buatan tangan, tetapi juga kerana harganya mencecah hampir USD 2 juta. Dengan kuasa setanding empat buah Camaro V8, Tuatara direka untuk menembusi halangan 300 mph (483 km/j) melalui gabungan aerodinamik canggih dan kuasa luar biasa.

Ia menggunakan enjin V8 twin-turbo dengan aci engkol rata (flat-plane crank) yang mampu berputar hingga 8,800 rpm, menghasilkan 1,750 hp dalam versi standard. Walaupun percubaan rekod kelajuannya pernah mencetuskan kontroversi, prestasi sebenar Tuatara kekal menakjubkan. Versi ekstrem seperti Tuatara Striker pula mencecah 2,200 hp, namun hanya dibenarkan untuk pemanduan di litar.

Koenigsegg Jesko 1,600 hp

Koenigsegg Jesko dinamakan sempena bapa kepada Christian von Koenigsegg, pengasas jenama hypercar eksklusif dari Sweden itu. Dikuasakan oleh enjin V8 5.0 liter twin-turbo, Jesko mampu menjana sehingga 1,603 hp apabila menggunakan bahan api E85. Ia menggantikan model Agera tetapi mengekalkan DNA reka bentuk agresifnya, kini dengan cermin depan gaya “wraparound” yang memberikan pandangan seakan jet pejuang.

Di dalam enjin tersembunyi kejuruteraan luar biasa dengan crankshaft paling ringan yang pernah dipasang pada V8, bersama piston dan rod ultra ringan. Jika ada ruang mencukupi, “raksasa” dari Sweden ini boleh mencecah lebih 320 km/j hanya dalam beberapa saat.

Bugatti Chrion Super Sport 1,578 hp

Bugatti Chiron Super Sport ialah varian tertinggi dalam keluarga Chiron yang dicipta untuk menawarkan pengalaman grand tourer paling ekstrem di dunia. Ia menggabungkan kemewahan dan keselesaan dengan keupayaan meluncur pada kelajuan luar biasa tanpa mengorbankan keselesaan penumpang.

Untuk meningkatkan kestabilan pada kelajuan tinggi, bahagian belakang Chiron Super Sport dipanjangkan hampir 10 inci berbanding model standard bagi mengoptimumkan aerodinamik. Di bawah hud, terdapat enjin W16 quad-turbo yang dinaik taraf, kini dengan turbo lebih besar dan redline lebih tinggi, menghasilkan kuasa melebihi tiga kali ganda Corvette C8 Stingray.

Koenigsegg Regera 1,500 hp

Koenigsegg Regera diperkenalkan pada tahun 2015 sebagai hypercar hibrid plug-in (PHEV) pertama jenama itu, menggunakan enjin V8 5.0 liter twin-turbo digabungkan dengan motor elektrik berkuasa tinggi. Gabungan dua sistem ini menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 1,500 hp, dengan tork segera yang memberikan pemandu rasa pecutan spontan seperti kereta elektrik sepenuhnya.

Menariknya, Regera tidak menggunakan kotak gear tradisional, sebaliknya ia dilengkapi Koenigsegg Direct Drive (KDD), sistem satu nisbah gear yang menyalurkan kuasa terus ke roda untuk tindak balas segera. Pada tahun 2023, Regera kembali mencatat sejarah dengan rekod 0–249 mph–0 dalam hanya 29.6 saat sahaja

Koenigsegg One:1 1,341 hp

Inilah satu-satunya kereta dalam senarai ini yang dinamakan sempena nisbah kuasa kepada beratnya atau lebih tepat 1 kuasa kuda metrik bagi setiap 1 kilogram berat, menjadikannya kereta dengan nisbah sempurna 1:1. Dikenali sebagai Koenigsegg One:1, ia juga menghasilkan 1 megawatt kuasa, sekaligus digelar sebagai “megacar” pertama di dunia.

Hypercar ini boleh menggunakan petrol biasa, bahan api perlumbaan atau biofuel, namun kuasa maksimum dicapai apabila menggunakan E85. Enjin V8 twin-turbo versi awal ini menjadi asas kepada pembangunan enjin Koenigsegg generasi seterusnya.

Chevrolet Corvette ZR1X1,250 hp

Berupaya memecut dari 0–100 km/j dalam hanya 1.9 saat dengan deruman kuasa yang dihasilkan dari enjin V8 5.5 liter flat-plane crank susunan MR. Jurutera telah menambah dua turbo besar serta motor elektrik pada gandar hadapan. Hasilnya, jentera ini menghasilkan 1,250 hp, iaitu 2.5 kali ganda kuasa Corvette Stingray standard, dengan pacuan semua roda (AWD).

Czinger 21C 1,250 hp

Dari segi kuasa per liter, tiada enjin produksi yang mendekati Czinger 21C. Hypercar hibrid ini menggunakan enjin V8 2.9 liter twin-turbo yang mampu menghasilkan 950 hp atau bersamaan 330 hp bagi setiap liter, satu angka luar biasa untuk kereta jalanan. Motor elektrik tambahan pula menghantar kuasa ke roda sambil menyediakan torque vectoring dan pecutan mantap di semua julat RPM, hingga ke redline 11,000 rpm.

Walaupun saiz enjinnya hampir separuh daripada Corvette ZR1X, gabungan sistem hibrid pintar dan cengkaman elektrik membolehkan Czinger 21C memecut 0–100 km/j dalam hanya 1.9 saat, menjadikannya antara jentera paling pantas di planet ini hasil kejuruteraan futuristik.

Aston Martin Valkyrie 1,160 horsepower

Enjin V12 Aston Martin Valkyrie ialah enjin aspirasi normal paling berkuasa yang pernah dihasilkan untuk kereta produksi. Dengan 1,160 hp yang dialirkan terus ke roda belakang, ia mampu memecut dari 0–100 km/j dalam sekitar 2.5 saat. Redline setinggi 11,000 rpm dan bantuan sistem hibrid elektrik memberikan pemandu pecutan yang memukau serta deruman enjin yang menggetarkan jiwa.

Hasil daripada gabungan kepakaran kejuruteraan Aston Martin dan Cosworth, Valkyrie menutup senarai ini sebagai karya agung dunia hypercar dengan 1,160 hp tulen tanpa sebarang turbo.

Google ads
Back to top button