
VOLVO BAKAL LANCAR MPV DI CHINA, GUNA PLATFORM ZEEKR 009
Siapa sangka, Volvo yang terkenal dengan barisan SUV yang paling selamat di dunia itu bakal menceburkan diri dalam segmen MPV.
Menurut laporan CarNewsChina, MPV baharu itu akan dibangun berdasarkan model minivan Zeekr 009, beserta platform elektrik SEA dan trenkuasa yang dibekalkan sekali.
Namun, rekaan luar MPV baharu Volvo ini bakal diberikan pendekatan yang unik, selari dengan bahasa rekaan yang digunapakai oleh Volvo pada ketika ini.
Sebagai info, Zeekr 009 membawakan ukuran sepanjang 5,209 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,867 mm dengan berat sekitar 2,830 kg.

Konfigurasi dua motor elektrik mampu menghamburkan kuasa setinggi 536 hp yang membolehkan pecutan 0-100 km/j sepantas 4.5 saat sahaja.
Pek bateri lithium-nickel-manganese-cobalt 140 kWh membenarkan jarak gerak sehingga 822 km berdasarkan data ujian China Light-Duty Vehicle Test Cycle.
Platform SEA Geely ini turut digunakan pada model smart #1, Lotus Eletre dan Polestar 4.
Biarpun dengan badan berkotak, Zeekr 009 masih lagi mampu menawarkan kadar pekali seretan serendah 0.27 sahaja.

Lebih banyak info bakal diketahu menjelang pengenalan model konsep pada suku ketiga tahun ini, sebelum versi produksi dilancarkan pada Q4 2023. – CarNewsChina