Buletin

WANITA TERPAKSA TAHAN SAKIT LEBIH 30 MINIT KAKI DITINDIH TAYAR LORI

Seorang wanita terpaksa menahan kesakitan lebih 30 minit dan merayu meminta pertolongan selepas kakinya tertindih di bawah tayar lori dalam satu kemalangan di persimpangan lampu isyarat Dato Kayaman, Padang Besar, semalam.

Kemalangan kira-kira pukul 7 petang itu melibatkan beberapa buah kenderaan lain apabila lori itu yang mengelak sebuah motosikal merempuh dua buah kereta dan satu motosikal lain di laluan bertentangan.

Seorang saksi, Abdul Rashid Tahir, 49, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Bertangkup. Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, dia mendapati dua wanita terbaring di atas jalan dengan salah seorangnya berada di bawah lori dalam keadaan kaki tersepit.

“Kedua-dua kaki salah seorang mangsa itu  tersepit di bawah tayar iaitu di bahagian hadapan sebelah kiri lori tersebut. Mangsa menjerit dan merayu-rayu meminta tolong dari orang ramai mengalihkan kenderaan berat itu.

“Orang ramai yang berhenti melihat kemalangan tersebut segera membantu beramai-ramai sebelum saya menarik keluar mangsa yang tersepit di bawah tayar lori tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, mangsa masih sedar selepas dikeluarkan dan boleh menggerakkan kakinya. Difahamkan, sekurang-kurangnya tiga orang mengalami kecederaan akibat kemalangan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintenden Saifudin Aslin Abbas berkata, kemalangan tersebut melibatkan lima buah kenderaan iaitu sebuah lori, dua kereta dan dua motosikal.

“Sebuah lori yang datang dari arah Mata Ayer ketika lampu isyarat berwarna hijau terkejut selepas sebuah motosikal dari arah kiri tiba-tiba melintas di hadapannya. Pemandu lori cuba mengelak ke kanan namun akibat jarak yang dekat, lori tersebut melanggar sisi kanan motosikal tersebut.

“Akibat cuba mengelak motosikal itu, pemandu lori hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan dari arah Beseri ke Mata Ayer sebelum merempuh sebuah lagi motosikal serta dua buah kereta lain,” katanya.

Polis kemudian mengeluarkan saman kepada pemandu lori serta penunggang motosikal terbabit di atas beberapa kesalahan peraturan jalan raya. Siasatan lanjut mengenai kejadian itu masih dijalankan. – UTUSAN ONLINE 

Google ads
Back to top button