Buletin

MERCEDES-BENZ AG PILIH MALAYSIA SEBAGAI PUSAT LOGISTIK SERANTAU

Mercedes-Benz AG memilih Malaysia sebagai pusat logistik komponen serantaunya bagi Asia Pasifik untuk mengurus dan mengedar pelbagai alat ganti serta aksesori berkaitan yang melibatkan perkhidmatan bagi 22 negara.

Dalam satu kenyataan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, kemudahan baharu di Senai, Johor Bahru, Johor itu akan meliputi ruang penyimpanan berkapasiti kira-kira  92,903.04 meter persegi dan dilengkapi sistem penyimpanan serta kendalian bahan serba maju untuk kelancaran perkhidmatan rangkaian pengedaran serantaunya.

Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Jerman yang diketuai oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada minggu lepas.

Mengulas perkembangan itu, Mohamed Azmin menyifatkan keputusan  Mercedes-Benz itu tidak hanya memaparkan usaha syarikat tersebut untuk mencatat pertumbuhan berterusan, namun turut membuktikan  keyakinannya  ke atas ekosistem kondusif negara serta kekuatan sedia ada  bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.

“Ini juga satu pengiktirafan ke atas kemampuan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi seperti jurutera, juruteknik selain kedudukan Malaysia sebagai hab rantaian dan pengedaran bekalan utama global di rantau ini,” kata beliau.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Arham Abdul Rahman berkata, kerajaan juga memperakui mengenai kesan limpahan positif pelaburan berkualiti terhadap pembangunan ekosistem perniagaan di negara ini.

“Sehubungan itu, MIDA akan terus konsisten dalam usaha kita untuk meninjau dan menarik pelaburan berkualiti dari serata dunia.

“Malah, pelaburan terkini oleh pihak  Mercedes-Benz AG juga melibatkan peranan kritikal untuk terus memperkukuh aspek hubung kait dalam industri tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk kalangan rakyat Malaysia selain meningkatkan kedudukan negara sebagai hab rantaian bekalan dan pengedaran global,” katanya.

Keputusan Mercedes-Benz itu menyaksikannya menyertai aliran pembukaan hab pengedaran global dan serantau di negara ini oleh syarikat-syarikat asing yang terbabit dalam bidang automotif, peranti sains hayat dan perubatan, elektrikal dan elektronik (E&E) serta jentera dan peralatan (M&E). – Bernama

Google ads
Back to top button