Artikel Pilihan

WARNA KELAJUAN – MERAH, HIJAU, PERAK & PUTIH. WARNA KUNING?

Sebelum zaman perlumbaan ditaja oleh syarikat korporat, pasukan perlumbaan akan mewarnakan jentera mereka dengan warna yang melambangkan warna bendera yang diwakili oleh mereka. Jadi ketika perlumbaan dijalankan, penganjur dapat mengenalpasti dengan mudah nombor kereta serta pasukan tersebut berasal daripada negara mana.

Pasukan dan jentera dari Jerman menggunakan warna perak, Itali menggunakan warna merah, British dengan warna hijau dan Jepun berwarna putih. Jentera perlumbaan zaman sekarang pula akan dipenuhi liveries atau logo syarikat yang menaja pasukan tersebut.

Ketika Empayar Kerajaan Jerman memerintah dibawah pimpinan maharaja Friedrich Wilhelm, warna bendera yang digunakan ialah merah putih dan juga hitam. Disebabkan warna merah sudah digunakan oleh negara Itali, maka German menggunakan warna putih bagi jentera perlumbaan mereka

Namun bahan asas yang digunakan untuk menghasilkan warna putih ketika itu kurang berkualiti seperti sekarang, maka dalam sesetengah keadaan ia juga menghasilkan warna yang seakan warna perak (silver). Perkara ini dibuktikan dengan gambar jentera perlumbaan Mercedes pada tahun 1924.

Pada tahun 1918, Jerman bertukar menjadi sebuah republik dan menukar bendera mereka kepada merah hitam kuning. Namun pasukan perlumbaan Jerman tetap menggunakan warna perak sebagai warna perlumbaan. Satu lagi cerita berkenaan dengan warna perak ini ialah ketika perlumbaan pada tahun 1937.

Pada tahun 1934, Association Internationale des Automobile Clubs Reconnus (nama lama FIA) memutuskan bahawa perlumbaan menjadi terlalu laju dan berbahaya. Jadi mereka bertindak menghadkan berat jentera menjadi 750kg sahaja, dengan harapan saiz enjin terpaksa dikecilkan.

Pasukan Mercedes muncul pada pada tahun 1937 tidak menyedari berkenaan had berat dan hampir gagal melayakkan jentera mereka disebabkan berat mereka ialah 751kg. Bagi mengurangkan berat, mereka mengikis warna pada jentera mereka menjadi kosong dan mendedahkan warna besi yang berkilat seperti perak

Pada detik bersejarah inilah jentera Silver Arrow Mercedes dilahirkan. Jadi pasukan Audi, Porsche dan Mercedes menggunakan warna perak sebagai warna rasmi untuk model flagship mereka. Kenapa Jerman tidak menggunakan warna merah?

Jawapannya ialah Itali telah menggunakan warna tersebut berdasarkan warna pada bendera mereka iaitu hijau putih dan merah. Ada cerita bagaimana Itali mula menggunakan warna merah berdasarkan satu perlumbaan lasak pada pada tahun 1907 yang bermula di Peking (nama lama Beijing) dan berakhir di Paris.

Seorang bangsawan Itali yang dikenali dengan nama Prince Scipione Borghese mewakili Itali bagi perlumbaan ini. Scipione menggunakan jentera Itala Mod dengan 45 kuasa kuda dan menggunakan warna merah yang dikenali Rossa Corsa Red.

Warna merah memudahkan penganjur mengesan kedudukan kereta dan juga pigmen warna merah lebih murah untuk dihasilkan. Mereka memerlukan masa 61 hari untuk perlumbaan sejauh 14,484km ini dan mengalahkan pasukan kedua dengan masa 1 jam.

Apabila pulang ke Itali, Scipione diangkat sebagai hero negara dan warna Rossa Corsa Red dijadikan sebagai warna rasmi perlumbaan bagi Itali. Jadi anda dapat lihat Ferrari, Alfa Romeo dan Maserati diwarnakan dengan merah.

Pada tahun 1902, Selwyn Edge yang berasal daripada England telah memenangi perlumbaan Gordon Bennet Cup. Sebagai tradisi, penganjuran perlumbaan berikutnya akan dibuat di negara pemenang iaitu di UK. Namun undang-undang ketika itu mengharamkan sebarang penganjuran perlumbaan bermotor di England.

Bagi mengatasi masalah tersebut, penganjuran perlumbaan dibuat di Ireland. Jadi sebagai penghargaan kepada Ireland, pasukan perlumbaan Britain mewarnakan jentera mereka dengan warna shermock green iaitu warna asal bunga kebangsaan Ireland iaitu bunga semanggi.

Jadi anda sudah tahu mengapa setiap kali anda lihat kereta super McLaren, Aston Martin dan Jaguar akan menggunakan warna hijau bagi kereta sport keluaran terhad.

Bagi negara Jepun, ia diwarnakan mengikut warna bendera mereka iaitu putih dan merah. Warna badan diwarnakan dengan warna Ivory White dengan warna merah matahari diletakkan pada bahagian bonet depan. Honda akan menggunakan warna putih Ivory pada jentera Type R sebagai meraikan pencapaian mereka dalam F1

Bagi Malaysia, warna yang ditetapkan ialah warna kuning bagi perlumbaan antarabangsa. Jadi ini menerangkan mengapa Satria Neo menggunakan warna kuning ketika menyertai. Mengapa Myvi generasi kedua dan Axia berwarna kuning? Mungkin sebab laju sangat senang polis nak tembak speedtrap.

Google ads
Back to top button