
WRC 2024 – SEBASTIAN OGIER MENANG DI PORTUGAL BUAT KALI KEENAM
Pemandu pasukan Toyota Gazoo Racing, Sebastian Ogier berjaya muncul sebagai pemenang di Vodafone Rally de Portugal sekali gus mencipta rekod kemenangan sebanyak enam kali di Portugal sementelah berjaya melakukannya pada tahun 2010, 2011, 2013, 2014, dan 2017 sebelum ini.
Pemandu dari Perancis itu kini menjadi pemandu paling berjaya dalam sejarah 56 tahun perlumbaan tersebut , yang merupakan pusingan pengasas untuk kejohanan FIA World Rally Championship (WRC) pada tahun 1973. Sebastian Ogier sebelum ini berkongsi rekod tersebut dengan legenda WRC dari Finland Markku Alén sebelum kejayaannya pada tahun ini.

Sebastian Ogier yang masih lagi memandu secara separuh masa musim ini dengan memandu jentera Toyota GR Yaris Rally1 berjaya mengatasi saingan hebat yang diberikan daripada pemandu pasukan yundai Motorsport, Ott Tanak dengan hanya kelebihan 7.9 saat sahaja.
Perlumbaan Vodafone Rally de Portugal musim ini dilihat cukup mencabar apabila ianya mempunyai lima pendahulu saingan yang berbeza dengan permukaan batu kerikil yang cukup mencabar ketika perlumbaan dilangsungkan di utara Portugal membabitkan bandar Porto dan Matosinhos.
Sebastian Ogier berjaya merampas kedudukan teratas pada hari Sabtu, di mana rakan sepasukan beliau Kalle Rovanperä tersingkir daripada senarai akibat kemalangan manakala seorang lagi rakan sepasukannya Takamoto Katsuta juga akur untuk menamatkan saingan dengan keadaan jentera Toyota GR Yaris Rally1 mengalamai masalah suspensi belakang yang rosak teruk.

Kemudiannya Sebastian Ogier terus mendahului jentera Hyundai i20 N Rally yang dipandu Ott Tänak dengan 11.9 saat sampai ke empat peringkat terakhir pada hari Ahad dan kekal tenang untuk terus mendahului ketika melakukan lompatan tinggi di lompatan lagenda Fafe untuk melengkapkan pusingan kelima musim ini dengan cukup bergaya.
Bagi Ott Tanak, podium kedua ini merupakan keputusan terbaik buat pemandu dari Estonia ini semenjak menyertai semula pasukan Hyundai Motorsport pada awal tahun ini. Tujuh mata tambahan yang diperolehnya ketika mengungguli saingan Super Sunday membantunya mendahului Adrien Fourmaux berada di tempat ketiga keseluruhan kategori pemandu ketika ini.

Melengkapkan podium ketiga adalah pencabar utama saingan kejuaraan WRC musim ini, Thierry Neuville. Beliau ketinggalan 1 minit 1.9 saat di belakang rakan sepasukan Ott Tanak. Keputusan podium terhadap pemandu yang berasal dari Belgium itu dilihat cukup melegakan apabila masih berjaya melebarkan pungutan mata kepada 24 mata untuk mengatasi Elfyn Evans sementelah pemandu Wales tersebut mengalami masalah kebocoran pada penyejuk untuk berpuas hati hanya berada di tempat keenam keseluruhan di Portugal.
Melengkapkan senarai lima pemandu teratas adalah Adrien Fourmaux di tempat keempat dan Dani Sordo di tempat kelima keseluruhan.
BACA : WRC 2024 – KALI INI GILIRAN SEBASTIAN OGIER PULA UNTUK MUNCUL JUARA DI RALLY CROATIA
BACA : WRC 2024 – THIERRY NEUVILLE MENANG DENGAN BERGAYA DI MONTE-CARLO