
WULING FORMO MAX – TRAK PIKAP TERBAHARU UNTUK PASARAN INDONESIA
Sesungguhnya pasaran trak kecil / pikap merupakan diantara segmen yang cukup laku keras di negeri Indonesia, selain daripada tipikal kenderaan biasa yang dijual. Model pikap ringan seperti Suzuki Carry dan juga Mitsubishi L300 ternyata cukup laku di Indonesia berbanding trak tradisional seperti Hailak. Sudah pasti faktor harga lebih murah menjadi pilihan mengapa ianya cukup laku di sana.
Menyedari akan ada ruang lompong, pengeluar dari China yang giat bertapak, melalui pengedar sah mereka, PT SGMW Motor Indonesia yang memasarkan jenama Wuling ingin turut serta merebut kek pasaran yang cukup besar ini. Oh ya, jenama Wuling ini semakin diteirma dengan baik menerusi pengenaan beberapa model seperti Cortez, Confero serta yang terbaharu, Air EV.
Untuk model pikap ini, Wuling Indonesia telah memperkenal model baharu, Wuling Formo Max. Wuling Formo Max ini sebetulnya diasaskan daripada MPV. Wuling Formo. Wuling Formo ini merupakan model MPV entry level dengan harga sekitar Rp 148,100,000 (RM 41,565).

Sekali imbas, memang mudah untuk mengenali asal usul apabila kepalanya mengguna pakai model daripada Formo sendiri. Cumanya di bahagian belakang telah menggunakan truck bed yang jauh lebih besar dan panjang berbanding pesaing yang lain (2,695mm x 1,725mm).
Dengan kapasiti ruangan yang lebih besar dan luas, sudah pasti mudah untuk model Wuling Formo Max ini menawan hati pembeli di sana untuk tujuan kegunaan di kawasan ladang dan pertanian untuk membawa jumlah muatan yang lebih banyak.
Trak pikap ringan ini menggunakan trenkuasa enjin 1485 liter dengan pilihan kotak gear manual lima kelajuan sahaja. Enjin ini mungkin sedikit lemau, apatah lagi dengan tork hanya 140 Nm, tetapi ianya lebih daripada memadai untuk bergerak dari titik A ke titik B tanpa masalah.

Dan untuk pasaran Indonesia, model pikap ini didatangkan dengan dua varian untuk dipilih, Formo Max AC dan juga Formo Max Standard. Secara asasnya, kedua varian ini didatangkan dengan kelengkapan Electric Power Stereng (EPS), sistem ABS + EBD. Cuma untuk varian AC, sudah tentu ianya dilengkapi dengan pendingin hawa dan juga pemain radio dengan fungsi USB. Untuk varian standard menggunakan pendingin hawa tradisional angin dari luar dan juga sistem hiburan mulut sendiri untuk menghiburkan diri ketika dalam kenderaan.
Harga untuk model ini dijangka bermula pada aras Rp 163.000.000 (RM 45794) dan sudah pasti ianya dilihat sebagai satu kelebihan buat model jenama China ini untuk menarik perhatian bakal pembeli kelak.
BACA : SUZUKI CARRY – INILAH DIA RAJA PIKAP DI INDONESIA
BACA : SUZUKI LANCAR CARRY LUXURY DI INDONESIA. APA YANG MEWAHNYA TRAK PIKAP KECIL NI?

