Buletin

TOKYO AUTO SALON 2023 – MITSUBISHI PAMER BARISAN KERETA KEI, SUV ECLIPCE CROSS DAN OUTLANDER

Mitsubishi telah memilih Tokyo Auto Salon 2023 untuk mempamerkan barisan kereta kei seperti Delica Mini, eK Cross, Minicab Mieve serta minivan Delica D:5. Turut dipamerkan adalah SUV Eclipse Cross, Outlander dan juga pikap Triton.

Mata pastinya tertumpu pada rangkaian baharu Mitsubishi Delica Mini di mana model tersebut dipasang dengan beberapa aksesori tulen seperti skrin navigasi 9-inci, pelekat dan set karpet lantai sesuai untuk semua cuaca.

Mitsubishi Delica Mini x Coleman ini mendapat kemasan livery Snow Survivor, berkonsepkan nuansa pergunungan untuk melengkapi penggayaan bull bar, rak bumbung, rim manik hitam dan menggunakan tayar Toyo Tyres Open Country. Model ini juga mendapat manfaat daripada kit katil serta ruang penyimpanan tambahan di dalam kabin.

Manakala untuk Delica D:5 Snow Survivor pula, ia bersaiz lebih kecil tetapi dari segi penampilan, model itu mendapat peningkatan yang serupa dengan Delica Mini x Coleman.

Masih lagi dalam segmen kereta kei, kali ini adalah Mitsubishi eK Cross EV Smooth x Tough, SUV elektrik yang menggunakan all-terrain tires, selain terdapat bull bar sebagai pelindung bampar hadapan, rak bumbung berserta lampu LED dan tangga belakang.

Seterusnya adalah kereta kei dengan janaan kuasa sifar pelepasan iaitu Mitsubishi Minicab Mieve B-Leisure Style II. Berdasarkan konsep yang didedahkan pada tahun lepas, ia menerima kemasan dwi-ton gaya tentera, padanan warna ivory dan moss green dengan beberapa pelekat.

Minicab Mieve B-Leisure Style II boleh memuatkan skuter serta set memancing sementara bahagian dalam telah ditukar menjadi tempat kerja mudah alih, kerusi, projektor dan kit katil. Jadi, model ini sangat sesuai untuk dipandu ke kem perkhemahan.

Pembuat kereta dari Jepun itu turut mempamerkan dua kenderaan ‘Black Edition Premium’ iaitu SUV outlander dan Eclipse Cross. Kedua-dua model digayakan dengan warna kelabu metalik titanium yang digabungkan dengan kemasan hitam selain padanan rim aloi hitam.

Turut tersedia untuk kedua-dua model adalah bakul bumbung untuk lebih praktikal.

Melengkapkan barisan untuk Tokyo Auto Salon tahun ini ialah replika kereta rali Triton bertatah lencana Ralliart yang telah memenangi Asia Cross Country Rally pada November 2022.

GALERI:

Google ads
Back to top button